Konflik Gaza: Lawatan menteri-menteri Arab-Islam ke negara anggota tetap UNSC bermula
Bernama
November 19, 2023 13:43 MYT
November 19, 2023 13:43 MYT
AMMAN: Jawatankuasa peringkat menteri yang dilantik untuk merangka tindakan antarabangsa bagi menamatkan perang Israel ke atas Gaza memulakan tugasnya pada Ahad, lapor Agensi Berita Petra.
Timbalan Perdana Menteri Jordan merangkap Menteri Luar dan Ekspatriat Ayman Safadi menyertai lawatan menteri-menteri Arab-Islam ke beberapa negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
China menjadi persinggahan pertama, menurut jurucakap Kementerian Luar Jordan Sufyan Qudah.
Jawatankuasa yang ditubuhkan selari dengan keputusan dicapai pada Sidang Kemuncak Arab-Islam anjuran Arab Saudi pada minggu lepas itu, terdiri daripada menteri luar Mesir, Indonesia, Jordan, Nigeria, Palestin, Qatar dan Turkiye, selain Setiausaha Agung Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sufyan berkata delegasi akan bertemu menteri-menteri luar dan pegawai kanan lain di negara yang dikunjungi bagi mengumpul sokongan antarabangsa untuk melaksanakan segera tindakan antarabangsa yang berkesan untuk menghentikan perang yang sedang berlaku di Gaza.
Antara peranan lain jawatankuasa itu termasuk memberi penerangan tentang kekejaman Israel terhadap orang awam Palestin serta serangan berulang dan berterusan ke atas sasaran awam, terutama tempat ibadat dan hospital.
-- BERNAMA