Konflik di Yaman: Malaysia alu-alukan perkembangan positif antara Arab Saudi, Houthi

Bernama
April 18, 2023 23:30 MYT
Kesultanan Oman selaku perantara adalah langkah tepat untuk mewujudkan persekitaran kondusif dalam usaha menamatkan konflik di Yaman. - AP
PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan perkembangan terkini di Yaman yang bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik yang berlarutan di negara itu, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa.
Malaysia percaya perbincangan di Sana'a baru-baru ini demi mencari kata sepakat mengenai gencatan senjata antara Arab Saudi dan Houthi, manakala Kesultanan Oman selaku perantara adalah satu langkah tepat untuk mewujudkan persekitaran kondusif dalam usaha berterusan menamatkan konflik di negara itu.
"Dialog bermakna yang berlangsung pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan minggu lepas sememangnya satu perkembangan yang sangat ketara dan telah membuka jalan kepada pertukaran banduan antara kedua-dua belah pihak pada 8 April.
"Malaysia berharap perkembangan positif di Yaman baru-baru ini akhirnya akan menyumbang ke arah kehidupan yang lebih baik untuk rakyat serta meningkatkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini," menurut Wisma Putra.
Malaysia kekal bersolidariti dengan rakyat Yaman dan akan terus menyokong semua usaha ke arah penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi konflik itu.
Jumaat lalu (15 April), Arab Saudi dan Houthi melakukan pertukaran berskala besar melibatkan hampir 900 tahanan di tengah-tengah rundingan damai yang menimbulkan harapan untuk menamatkan perang lapan tahun Yaman, menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa ( ICRC).
Menurut laporan antarabangsa, langkah itu disambut baik oleh Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman, Hans Grundberg sambil berkata; "Operasi pembebasan ini tepat pada masanya buat Yaman sebagai peringatan bahawa dialog yang membina dan kesepakatan bersama adalah alat berkuasa yang mampu mencapai hasil yang hebat."
-- BERNAMA
#konflik #Yaman #Malaysia #Arab Saudi #Houthi
;