Konflik Azerbaijan-Armenia: Wakil Nagorno-Karabakh tiba untuk rundingan

Bernama
September 21, 2023 20:54 MYT
Azerbaijan mula menyerang menggunakan roket dan artileri pada pagi Selasa di Nagorno-Karabakh yang kebanyakannya didiami oleh rakyat Armenia. - Gambar Reuters
BAKU: Wakil rakyat Armenia yang tinggal di Nagorno-Karabakh telah tiba di Azerbaijan untuk berunding mengenai wilayah terbabit selepas insiden keganasan terbaharu di rantau itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pertemuan yang diadakan di Yevlax membabitkan "penyatuan semula" Nagorno-Karabakh ke dalam Azerbaijan, menurut agensi berita negara Azerbaijan Azertac.
Askar Rusia yang ditempatkan di wilayah itu akan hadir sebagai orang tengah, lapor agensi itu.
Azerbaijan mula menyerang menggunakan roket dan artileri pada pagi Selasa di Nagorno-Karabakh yang kebanyakannya didiami oleh rakyat Armenia.
Penduduk Armenia bersetuju dengan gencatan senjata pada Rabu.
Sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh manakala lebih 400 lagi cedera dalam pertempuran sejak beberapa hari lalu, menurut media Armenia.
-- BERNAMA
#Konflik Azerbaijan-Armenia #rundingan damai #genjatan senjata #Azerbaijan
;