Konflik Asia Barat: Sikap berpeluk tubuh PBB korbankan lebih banyak nyawa
Astro Awani
Mei 19, 2021 09:48 MYT
Mei 19, 2021 09:48 MYT
SIKAP membisu dan hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyebabkan lebih banyak nyawa rakyat Palestin melayang.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour menyelar badan dunia itu susulan kegagalannya membuat Israel patuh kepada arahan global untuk mengakhiri pencerobohan ke atas bumi Palestin.
"Tiada pihak berjaya memaksa Israel patuhi tuntutan global untuk mengakhiri pencerobohan ini.
"Apa fungsi PBB jika badan itu tidak bertindak pantas untuk membantu kami, mereka yang berisiko, mereka yang diserang, mereka yang sedang menghadapi keganasan?
"Namun kami tidak akan berputus asa. Kami akan terus mengetuk segala pintu yang ada untuk bantu kami.
"Tiada seorang pun rakyat kami akan menaikkan bedera putih," tegasnya.
Ahad lalu, semasa sesi tergempar, anggota Majlis Keselamatan PBB mendesak supaya keganasan dihentikan untuk tamatkan konflik serta penderitaan penduduk Palestin.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak disokong Amerika Syarikat yang mendakwa kononnya ia akan menganggu usaha diplomatik oleh perutusan khasnya yang dihantar ke Israel bagi menggerakkan proses rundingan damai.
Taklimat pada Selasa menyusul ketika pertempuran antara pejuang Hamas dan tentera zionis sedang memuncak dengan angka korban melibatkan rakyat Palestin melebih 200 orang.
Manakala puluhan bangunan Palestin pula rosak teruk dibedil tentera rejim zionis dalam siri serangan dilakukannya.