Konflik Asia Barat: PBB perlu ASD38 juta untuk misi kemanusiaan Gaza

Astro Awani
Mei 19, 2021 07:20 MYT
PBB meminta masyarakat antarabangsa memastikan dana yang mencukupi untuk operasi kemanusiaan di Gaza. - Gambar fail
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta ASD38 juta untuk memenuhi keperluan segera dan melakukan campur tangan kecemasan penting di Gaza.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, pembiayaan itu akan memberi sokongan kepada sehingga 50,000 individu dalam tempoh 30 hari.
"Setiausaha Agung PBB (Antonio Guterres) menyatakan bahawa, kita melihat penderitaan manusia yang sangat dahsyat dan kerosakan teruk terhadap rumah serta infrastruktur penting di Gaza.
"Dia meminta masyarakat antarabangsa memastikan dana yang mencukupi untuk operasi kemanusiaan kita di sana," kata Dujarric di New York pada Rabu.
Menurutnya, penyelaras khas untuk bantuan kemanusiaan Tor Wennesland terlibat secara aktif dengan semua pihak di lapangan untuk berusaha ke arah itu.
Israel terus membedil Gaza dalam serangan udara pada Rabu dengan angka korban kini melebihi 200 mangsa di Palestin.
Serangan kini memasuki hari kesepuluh.
Setakat ini, pertempuran pejuang Hamas dan tentera Zionis belum menunjukkan tanda-tanda reda sejak ia mula tercetus 10 Mei lalu.
#PBB #Hamas #Gaza #Israel #mangsa #serangan #tentera #Zionis #angka korban #St phane Dujarric #Antonio Guterres #operasi kemanusiaan #misi kemanusiaan
;