Konflik Asia Barat: PBB desak Israel, Palestin henti serangan

Astro Awani
Mei 13, 2021 08:53 MYT
PBB menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan korban dalam kalangan orang awam di Gaza dan Israel. - Gambar fail AP
PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel dan Palestin menghentikan keganasan serta-merta bagi mengelak situasi lebih buruk menimpa orang awam.
Kenyataan dibuat di New York pasca mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Rabu.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric menyifatkan keadaan berbalas serangan di antara dua pihak itu sebagai paling buruk setakat ini.
"Ketika ini, situasi di lapangan semakin teruk, ini adalah situasi paling buruk pernah berlaku antara Palestin dan Israel dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kami bimbang dengan peningkatan korban dalam kalangan orang awam di Gaza dan Israel, dan sedih dengan laporan berkenaan kematian kanak-kanak di Gaza," katanya.
Pada Isnin, China, Tunisia dan Norway mengemukakan cadangan draf kenyataan kepada mesyuarat UNSC tersebut, mendesak Israel menghentikan pengusiran terhadap penduduk Palestin.
#Gaza #Israel #China #New York #PBB #Kanak-kanak #keganasan #serangan #keselamatan #Palestin #UNSC
;