Konflik Asia Barat: Joe Biden akan segera bercakap dengan Benjamin Netanyahu
Agensi
September 29, 2024 07:40 MYT
September 29, 2024 07:40 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, beliau akan bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak lama lagi susulan ketegangan di Asia Barat meningkat, berikutan pembunuhan ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah.
"Ya, saya akan bercakap dengannya," kata Biden pada Ahad ketika beliau menuju ke White House dari Pangkalan Tentera Udara Dover, di Delaware.
Biden menambah: "Kita benar-benar perlu mengelak" perang habis-habisan di Asia Barat.
"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga berkaitan dengan kedutaan dan kakitangan kami yang ingin meninggalkan kawasan tersebut… tetapi kami belum sampai ke tahap itu. Namun, kami sedang berusaha bersama Perancis dan banyak pihak lagi."
Sebelum Nasrallah dibunuh, Netanyahu menolak cadangan gencatan senjata yang diuruskan oleh AS dan Perancis yang menyeru supaya berhenti selama 21 hari dalam pertempuran merentasi sempadan Israel-Lubnan.
Hubungan Biden dan Netanyahu dingin sejak perang di Gaza tercetus hampir setahun lalu.
Presiden AS itu kini sedang berusaha untuk meredakan ketegangan pada ketika pengaruhnya terhadap keputusan Netanyahu berada pada tahap paling rendah. - Agensi