Konflik Afghanistan: Taliban setuju kempen vaksinasi polio oleh WHO
Astro Awani
Oktober 19, 2021 07:42 MYT
Oktober 19, 2021 07:42 MYT
AGENSI di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia memberi vaksinasi melawan polio kepada semua kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Afghanistan, pertama kali sejak 2018.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, keputusan tersebut diambil selepas Taliban bersetuju mengenai kempen tersebut.
Selama tiga tahun terakhir, Taliban melarang pasukan vaksinasi yang diatur PBB untuk melakukan kempen dari rumah ke rumah di bahagian Afghanistan yang dikuasai mereka.
Ini kerana, Taliban mengesyaki mereka boleh menjadi perisik bagi kerajaan Afghanistan ketika itu, atau bagi negara Barat.
Pengarah pembasmian polio WHO untuk wilayah Mediterranean Timur Dr Hamid Jafari berkata, arahan oleh pihak berkuasa Taliban itu satu kemajuan penting dalam program pembasmian polio.
"Sekarang ini, terdapat sangat sedikit kes polio di Afghanistan dan Pakistan. Pakistan hanya mengesan satu kes polio pada Januari tahun ini, begitu juga Afghanistan.
"Dan kempen vaksinasi terakhir kami di Afghanistan adalah pada Jun.
"Dan selama tiga setengah tahun terakhir ini, kira-kira 3.3 juta kanak-kanak yang tinggal di daerah di bawah kawalan Taliban, kempen vaksinasi tidak dapat menjangkau mereka, kerana Taliban pada masa itu menghalang vaksinasi rumah ke rumah di kawasan tersebut, terutamanya atas alasan keselamatan," katanya di Islamabad pada Selasa.
Taliban menunjukkan mereka bersedia bekerjasama dengan agensi antarabangsa untuk membuka kembali pintu bantuan antarabangsa bagi menyelamatkan ekonomi yang runtuh.
WHO dan agensi kanak-kanak PBB (UNICEF) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, mereka menyambut baik keputusan kepimpinan Taliban yang menyokong kembali vaksinasi polio dari rumah ke rumah di seluruh negara.