Konflik Afghanistan: PBB gesa Taliban henti serangan

Astro Awani
Ogos 13, 2021 07:44 MYT
Antnio Guterres berkata ini adalah saat untuk menghentikan serangan dan memulakan rundingan serius bagi mengelakkan perang saudara berpanjangan di Afghanistan. -Gambar fail
GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Taliban menghentikan segera serangan mereka di Afghanistan dan memberi amaran bahawa keadaan di negara itu makin kacau-bilau.
António Guterres berkata ini adalah saat untuk menghentikan serangan dan memulakan rundingan serius bagi mengelakkan perang saudara berpanjangan di Afghanistan.
Taliban berjaya menawan Kandahar dan Herat, bandar kedua dan ketiga terbesar di Afghanistan apabila anggota keselamatan negara itu dilihat gagal untuk mempertahankannya.
Guterres meminta semua pihak melakukan lebih banyak usaha untuk melindungi orang awam.
Beliau juga terganggu dengan laporan awal bahawa Taliban melakukan sekatan berat terhadap hak asasi manusia di daerah-daerah dikuasai mereka, terutama menyasarkan wanita dan wartawan.
Di bawah pentadbiran Taliban di antara 1996 dan 2001, wanita tidak dapat bekerja, kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan bersekolah, dan wanita harus menutup muka dan ditemani saudara lelaki jika mereka ingin keluar rumah.
PBB sedang menilai keadaan keselamatan di Afghanistan setiap jam dan memindahkan beberapa kakitangan ke ibu kota Kabul, namun tidak memindahkan sesiapa keluar dari negara itu.
PBB mempunyai 3,000 kakitangan tempatan dan sekitar 300 kakitangan antarabangsa di Afghanistan.
Amerika Syarikat menghantar kira-kira 3,000 tentera tambahan untuk membantu memindahkan kakitangan kedutaannya dan Britain mengerahkan 600 tentera untuk memindahkan warganya.
Sejak awal tahun ini, hampir 400,000 individu menjadi pelarian di seluruh Afghanistan akibat konflik tersebut.
#Amerika Syarikat #Afghanistan #Britain #Kanak-kanak #PBB #pelarian #Taliban #New York
;