Konflik Afghanistan: Australia bawa keluar 450 lagi orang dari Kabul
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 23, 2021 05:03 MYT
Ogos 23, 2021 05:03 MYT
AUSTRALIA meneruskan operasi pemindahan dari Afghanistan dengan lebih 450 orang lagi diterbangkan dari Kabul ke pangkalan tentera negara itu di Timur Tengah pada Ahad.
Perdana Menteri Scott Morrison memaklumkan, mereka yang dipindahkan termasuk warganegara Australia, pekerja Afghanistan dan pemegang visa kemanusiaan.
“Ia menjadikan lebih 1,000 orang keseluruhannya yang berjaya kami pindahkan bersama United Kingdom sepanjang operasi setakat ini.
"Ia bukan sahaja melibatkan warga Australia, tetapi merangkumi sebilangan besar pekerja tempatan dan pemegang visa kemanusiaan Afghanistan,” ujarnya pada sidang media di Canberra.
Sementara itu warga Amerika Syarikat yang dibawa keluar dari Afghanistan selamat tiba di utara Virginia sebelum dibawa ke pusat penematan sementara di Chantilly.
Pesawat yang membawa mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles pada Ahad.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memaklumkan, operasi pemindahan warga Amerika dari lapangan terbang Kabul ditingkatkan pada hujung minggu.
Jelasnya, seramai 11,000 orang telah dibawa keluar dalam tempoh 36 jam.