Konflik Afghanistan: 31 Ogos tarikh akhir pengunduran, tiada kompromi - Taliban
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 23, 2021 04:35 MYT
Ogos 23, 2021 04:35 MYT
TALIBAN menegaskan, 31 Ogos merupakan tarikh akhir pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan dan tiada sebarang lanjutan dibenarkan.
Walaupun pada Julai Presiden Joe Biden mengarahkan tentera AS menamatkan misi di Afghanistan menjelang akhir bulan ini, beliau juga mengatakan ada anggota yang mungkin perlu tinggal untuk meneruskan proses evakuasi semua warga Amerika dari negara itu.
Bercakap kepada Sky TV di Doha pada Ahad, jurucakap Taliban Suhail Shaheen berkata, sekiranya Amerika melanjutkan tarikh pengunduran tersebut, ia akan menimbulkan konflik antara kedua-dua pihak.
"Sekiranya mereka (AS) melanjutkannya, bermakna mereka memanjangkan tempoh pendudukan.
"Di samping tidak ada keperluan untuk itu, ia juga menimbulkan ketidakpercayaan antara kami.
"Jika mereka bertegas mahu melanjutkan tempoh pendudukan, ia akan menimbulkan reaksi," katanya.
Dalam pada itu, Taliban juga menafikan tindakan warga Afghanistan yang melarikan diri dari negara itu adalah disebabkan ketakutan, sebaliknya mereka menyifatkan ia satu langkah migrasi ekonomi.
"Pertama, saya jamin, ini bukan mengenai kebimbangan atau ketakutan mereka. Ini mengenai keinginan mereka, permintaan mereka, untuk menetap di negara-negara Barat.
"Ia merupakan migrasi ekonomi kerana Afghanistan adalah negara miskin dan 70 peratus rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan.
"Jadi, semua orang mahu menetap di negara-negara Barat untuk menjalani kehidupan yang sejahtera. Bukan kerana takut.
"Tentu saja, untuk pergi ke sana, mereka beri alasan, mereka memperbesarkan isu ketakutan itu.
"Kami kenal rakyat Afghanistan. Ini masyarakat kami. Ini bukan kerana mereka takut,” kata Suhail lagi.
Sejak Taliban menguasai Kabul, lapangan terbang tentera di bandar itu dipenuhi penduduk Afghanistan yang berusaha melarikan diri ke negara Barat.