Komuniti perniagaan Malaysia perlu bersedia teroka pasaran baharu di China
Bernama
Jun 24, 2023 04:50 MYT
Jun 24, 2023 04:50 MYT
NANNING (China): Peniaga mahupun pelabur Malaysia perlu bersiap sedia dalam persaingan untuk merebut peluang pelaburan dalam atau dari China.
Memandangkan pasaran domestik China yang begitu besar dan terbuka, Malaysia dengan kelebihan pengeluaran komoditi pertanian mampu meneroka lebih banyak pasaran baharu di China.
Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Ahmad Phadil Ismail berkata China kembali membuka pintu sempadannya Januari tahun ini selepas hampir tiga tahun ditutup ekoran penularan COVID-19, dan peluang ini perlu direbut komuniti perniagaan Malaysia untuk meneroka pasaran baharu di China.
"China ialah rakan dagang terbesar Malaysia selama ini. Sekarang munculnya persaingan Vietnam, Malaysia perlu lebih berusaha. Persaingan ini hanya dalam rantau Asean, belum ambil kira persaingan dari Eropah, negara membangun dan negara maju yang lain," katanya kepada Bernama TV, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata kedudukan rantau Asean khasnya Malaysia dalam perubahan geopolitik dunia perlu dilihat sebagai peluang juga dalam menarik pelaburan.
Hubungan China-Malaysia sangat rapat selama ini, walaupun pemimpin silih berganti, namun keakraban hubungan dua hala tidak berubah.
"Ini (hubungan dua hala yang rapat) perlu kita manfaatkan. China sentiasa bersedia menerima pelaburan dari luar, cuma adakah komuniti perniagaan Malaysia sudah bersedia memberi komitmen yang sama?" katanya.
Katanya, komoditi pertanian menjadi antara eksport utama Malaysia ke China. Selain minyak sawit, buah durian dan sarang burung dari Malaysia mendapat sambutan yang hangat di pasaran China.
Justeru, beliau berharap komuniti perniagaan Malaysia boleh memanfaatkan peluang perniagaan di Ekspo China-Asean kali ke-20 yang akan diadakan pada September tahun ini.
Dalam aspek menarik pelaburan dari China, Ahmad Phadil berkata industri kenderaan elektrik atau EV, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau adalah antara bidang baharu yang boleh diceburi.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.
Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 mencecah RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
-- BERNAMA