Komuniti Michigan mohon maaf, menyesal tidak percaya aduan mangsa rogol
Azyyati Ahmad
Februari 2, 2018 10:54 MYT
Februari 2, 2018 10:54 MYT
WARGA Michigan dilanda rasa bersalah kerana tidak mendengar aduan dari beberapa wanita mangsa rogol Larry Nassar lebih sedekad lalu, apabila mereka membuat laporan dicabul oleh bekas doktor pasukan gimnastik itu.
Lapor AP, Ketua Komuniti Michigan membuat permohonan maaf itu dalam satu majlis terbuka mewakili penduduk serta pihak berkuasa kepada mangsa-mangsa cabul Nassar.
Pada tahun 2004, seorang wanita membuat aduan serangan seksual oleh Larry Nassar tetapi tidak diendahkan.
Brianne Randall-Gay berusia 17 tahun ketika itu memberitahu polis di Meridian Township bahawa Nassar telah mencabulnya ketika dia datang mendapatkan rawatan sakit belakang.
Bagaimanapun, pegawai polis menutup kes itu kerana menganggap ia hanya satu rutin rawatan dan tuduhan tidak berasas ke atas Nassar.
Di majlis terbuka itu, permohonan maaf dibuat kepada Randall-Gay yang hadir menerusi panggilan video.
“Saya mewakili penduduk, pihak berkuasa memohon maaf kepada anda. Kami berasa kami gagal dan walaupun permohonan maaf telah dibuat secara tertutup sebelum ini, kami rasakan ia patut dilakukan secara terbuka kerana perkara memalukan itu berlaku secara terbuka kepada kamu,” ucap Pegawai Polis Meridian Township, Chief Dave Hall.
Randall-Gay bersyukur kerana permohonan maaf itu merupakan sesuatu yang ditunggu selama 14 tahun.
“Sila dengar dan ambil tindakan ke atas aduan anak-anak anda. Kes Nassar berlanjutan kerana tidak ada orang mendengar aduan kami,” kata Randall-Gay dalam majlis tersebut.
Dalam laporan polis lama yang dikeluarkan pada Rabu, Randall-Gay dan ibunya memberitahu detektif bahawa mereka berjumpa dengan Nassar bagi rawatan untuk kelengkungan tulang belakang, scoliosis.
Randall-Gay ketika itu memberitahu polis bahawa Nassar telah menanggalkan seluar dalamnya, dan memaksa wanita itu memegang kemaluannya dan menggosok dadanya.
Namun, Nassar memberitahu polis dengan memberi alasan bahawa rawatan tekanan kepada "perineum," telah digunakan untuk memanipulasi ligament.
Nassar juga telah mengalih perhatian pihak penyiasat dengan menyediakan kertas kerja bertajuk "The Grand Junction." Selepas itu, kes itu ditutup.
Ia bukan satu-satunya laporan yang difailkan ke atas Nassar. Penyiasatan polis Michigan berakhir pada tahun 2014 tanpa sebarang tuduhan yang difailkan ke atas Nassar.
Malah Universiti Michigan tempat Nassar bekerja dituduh cuba membersihkan Nassar daripada serangan itu.
Larry Nassar telah mencabul lebih daripada lebih 265 atlet sepanjang tiga dekad berkhidmat, dan kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak.
Dia yang juga bekas doktor pasukan gimnastik dijatuhkan hukuman penjara sehingga 175 tahun pada Rabu.
Larry Nassar, 54, mengaku bersalah di mahkamah di Lansing, terhadap tuduhan melakukan serangan seksual ke atas remaja perempuan yang datang mendapatkan rawatan.
Dia yang pernah melalui empat Sukan Olimpik, melakukan perbuatan terkutuk itu di antara 1998 dan 2015 ketika bertugas dengan skuad gimnastik Amerika Syarikat (AS) dan Universiti Michigan.
#Amerika Syarikat
#Brianne Randall-Gay
#cabul
#Kanak-kanak
#Larry Nassar
#mahkamah
#mangsa
#Michigan
#Olimpik
#penjara
#rogol
#serangan
#sukan
#wanita