Komen perkauman: Gergasi sukan British boikot media sosial
Agensi
Mei 1, 2021 12:31 MYT
Mei 1, 2021 12:31 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan berpengaruh dalam industri sukan British mengumumkan mereka akan memboikot platform media sosial terbesar dunia, sebagai tanda protes terhadap peningkatan insiden buli dalam talian.
Agensi CNBC melaporkan, boikot terhadap Facebook, Instagram, dan Twitter akan bermula pukul 3 petang semalam (Jumaat) waktu London, dan berlanjutan sehingga empat hari.
Tindakan boikot itu – yang diterajui sukan seperti bola sepak, ragbi, dan kriket – timbul apabila gergasi media sosial berpangkalan di Amerika Syarikat itu dikritik dan dikecam hebat kerana gagal menyekat komen dan catatan bersifat perkauman dan seksis dalam platform masing-masing.
Bekas pemenang Piala Dunia serta pemegang rekod jaringan Arsenal, Thierry Henry sudah pun memadamkan akaun media sosialnya, dan menyokong gerakan itu sebagai satu permulaan dalam memerangi perkauman dan diskriminasi.
Kapten pasukan bola sepak Watford, Troy Deeney memberitahu BBC, kebanyakan atlet telah menerima mesej kecaman berunsur perkauman secara harian, dan ada di antara mereka yang menerimanya setiap jam.
Ketua Eksekutif Premier League Richard Masters dalam satu kenyataan berkata – “Sikap perkauman dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima, dan serangan yang diterima para pemain melalui akaun media sosial masing-masing amat mengejutkan, dan tidak boleh dibiarkan berterusan”.
Setiausaha Budaya British Oliver Dowden berkata, firma media sosial akan menghadapi sekatan yang ketat jika mereka terus gagal memadamkan dan menghalang perbuatan sedemikian.
“Kita mungkin akan menyaksikan jumlah denda sehingga 10 peratus daripada jumlah perolehan dunia secara tahunan. Untuk syarikat seperti Facebook dan YouTube, ia mungkin berbilion,” katanya lagi.
Seorang jurucakap Facebook berkata, polisi syarikat mereka kekal menentang mana-mana tindakan atau sikap yang berunsur perkauman atau diskriminasi terhadap golongan tertentu.
“Mulai minggu hadapan, kami akan menyediakan pilihan terbaharu, berdasarkan konsultansi dengan pemain bola sepak dan pakar anti-diskriminasi, bagi menghalang komuniti melihat mesej berunsur kecaman daripada orang asing,” katanya lagi.
Sementara itu, jurucakap Twitter memaklumkan, syarikat itu telah memadamkan lebih 7,000 komen berunsur serangan berkaitan industri bola sepak di United Kingdom, sejak 12 September, 2020.
“Jumlah itu hanya mewakili kira-kira 0.02 peratus, dan tidak menggambarkan perbualan dan perbincangan untuk keseluruhan mengenai bola sepak di UK,” katanya lagi.
#sukan British
#boikot
#perkauman
#diskriminasi
#Facebook
#Twitter
#YouTube
#Thierry Henry
#Arsenal
#Manchester United
#EPL
#United Kingdom
#serangan
#protes
#sukan
#buli