[KOLUMNIS] Tuntutan lucu waris kesultanan Sulu

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli
Mac 3, 2022 09:44 MYT
Sebagai sebuah negara berdaulat, tidak ada mahkamah mana-mana sekalipun di muka bumi yang boleh membuat keputusan yang mengikat Malaysia tanpa persetujuan kerajaan pusat di Putrajaya.
PADA 22 Januari 1878, suatu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Sulu dan dua agen British, Alfred Dent dan Baron von Overback (berkebangsaan Jerman), perjanjian yang telah menyerahkan atau ‘menyewakan selama-lamanya’ Borneo Utara kepada British, dengan pulangan pembayaran sebanyak 5, 000 dolar Malaya setahun kepada Sultan Sulu.
Pembayaran ini telah ditingkatkan kepada 5,300 dolar Malaya apabila wilayah yang diserahkan meliputi pulau-pulau persisiran Borneo Utara dari Pulau Banggi ke Teluk Sibuku.
Sewaktu Perang Dunia Kedua, Sabah telah dijadikan sebahagian dari Empayar Jepun. Sabah telah dijadikan tanah jajahan mahkota British setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 sehingga kemerdekaan Sabah di dalam Malaysia pada tahun 1963.
Setelah kemerdekaan, kerajaan Malaysia yang telah bertungkus lumus membelanjakan jutaan Ringgit bagi memajukan Sabah serta mewujudkan pentadbiran yang cekapdalam menguruskan negeri ini.
Waris Kesultanan Sulu pula berdiam diri tidak melakukan apa-apa bagi menunjukkan mereka adalah penguasa yang berdaulat ke atas Sabah.
Perlukah Malaysia mengambil peduli tuntutan ‘pampasan’ RM63 billion oleh waris kesultanan Sulu sepertimana yang diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara di Paris, Perancis?
Undang-undang Antarbangsa
Sejak tahun 1963, Malaysia telah melaksanakan pemerintahan efektif dalam mentadbir Sabah serta memperuntukkan dana dan meransang pelaburan bagi memajukan ekonomi negeri ini dengan masyarakat antarabangsa mengakui Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Kerajaan Malaysia telah menubuhkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera, membangunkan sistem pendidikan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Sabah. Rakyat Sabah memiliki kad pengenalan Malaysia, bukannya kad pengenalan kesultanan Sulu mahupun Filipina.
Pelancong-pelancong asing yang ingin ke Sabah, tidak kira dari Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat, Afrika Selatan atau United Kingdom perlu melewati pos kawalan imigresen Malaysia di pintu-pintu masuk antarabangsa di Sabah dan mendapatkan kelulusan masuk menerusi cop imigresen Malaysia di pasport masing-masing.
Ini telah berlangsung berdekad lamanya sekali gus menunjukkan bahawa dunia mengakui kedaulatan Malaysia ke atas Sabah.
Sekiranya betul waris kesultanan Sulu berkeras menuntut Sabah dan berkeras mahukan Malaysia membayar ‘pampasan’, kenapa waris kesultanan Sulu tidak secara berterusan membantah amalan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah sejak 1963?
Keputusan Tidak Mengikat
Sebagai sebuah negara berdaulat, tidak ada mahkamah mana-mana sekalipun di muka bumi yang boleh membuat keputusan yang mengikat Malaysia tanpa persetujuan kerajaan pusat di Putrajaya.
Namun, keputusan boleh mengikat negara sekiranya Malaysia bersetuju untuk menyerahkan kedaulatannya kepada sesuatu Mahkamah untuk memutuskan sesuatu isu, sepertimana kes Batu Puteh pada tahun 2008 di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ataupun kes melibatkan penambakan di Selat Johor dekat Pulau Tekong di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa Undang-undang Laut pada tahun 2003.
Sewaktu Mahkamah Timbangtara Antarabangsa membuat keputusan mengenai isu Laut China Selatan yang berpihak kepada Filipina pada tahun 2016, China membuat kata putus untuk tidak mengambil pusing kerana prosiding ini dilakukan secara sepihak (ex-parte) oleh Filipina, tanpa penglibatan China. Oleh itu, keputusan Mahkamah Timbangtara ini tidak mengikat China dalam apa jua keadaan sekalipun.
Malaysiakini melaporkan di dalam laporan akhbar dalam talian pada 1 Mac 2022 bahawa Malaysia tidak dimaklumkan dengan betul mengenai kes tuntutan ‘pampasan’ waris kesultanan Sulu ini.
Oleh itu, mengambil kira apa yang dilakukan oleh China berkaitan kes Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa pada tahun 2016, Malaysia juga boleh bertindak tidak mengambil pusing berkaitan tuntutan ‘pampasan’ waris kesultanan Sulu ini.
Dari sudut pandang undang-undang antarabangsa, sekiranya tuntutan ini dikatakan patut dipenuhi, atas dasar apa ianya perlu dilayan? Kesultanan Sulu bukanlah entiti berdaulat yang sudahpun dihapuskan pihak Amerika Syarikat lebih seratus tahun yang lalu melalui Perjanjian Carpenter 1915.
Kenapakah Malaysia perlu membayar pampasan kepada sesuatu ‘entiti politik’ yang bukan lagi penguasa wilayah Sabah sejak 1878?
Kesimpulan
Sabah pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Sulu. Walaubagaimanapun, Kesultanan Sulu telahpun dihapuskan dan tidak lagi diiktiraf sebagai entiti politik berdaulat sejak 1915, sama seperti Kesultanan Melaka yang roboh pada tahun 1511, Kesultanan Pattani yang telah dibubarkan pada 1902 oleh Siam, Kesultanan Riau-Lingga yang dimansuhkan oleh Belanda 1911 ataupun Kesultanan Siak yang telah terintegrasi di dalam Indonesia pada tahun 1945. Kesultanan Sulu tidak memiliki status seperti kesultanan-kesultanan Melayu yang ada di Malaysia ataupun Brunei yang diiktiraf dan berdaulat.
Tidak seperti Laut China Selatan yang dituntut oleh banyak negara, kedaulatan ke atas Sabah sudah diakui Dunia milik Malaysia.
Negeri Sabah berkembang maju setelah merdeka di dalam Malaysia dan kemakmuran yang dikecapi Sabah telah menjadikannya tambang emas bukan sahaja untuk rakyat tempatan, tetapi juga pendatang asing yang menetap di negeri tersebut.
Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Malaysia adalah negara merdeka dan kedaulatannya ke atas Sabah tidak patut dipersoalkan.
Oleh itu, tuntutan pampasan tidak masuk akal ini tidak lebih daripada kisah lucu waris kesultanan Sulu.

* Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan felo penyelidik di Australian National University (ANU) Malaysia Institute, Canberra, Australia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#kesultanan sulu #agen British #Sabah #kedaulatan Malaysia
;