[KOLUMNIS] Singkap ke belakang, bergerak ke hadapan: Pengajaran Perang Dunia Kedua

Naiyl Latypov, Ouyang Yujing
September 3, 2021 11:59 MYT
Semasa Perang Dunia Kedua, Rusia dan China kehilangan banyak nyawa, melibatkan tentera dan orang awam. - Foto Wikipedia
3 SEPTEMBER ini menandakan ulang tahun ke-76 tamatnya Perang Dunia Kedua. Ketika kita memperingati kejayaan pihak Berikat menghancurkan kuasa Paksi, kita juga turut sama berkongsi rasa dukacita yang mendalam disebabkan hampir setiap negara di dunia merasai derita hari-hari perang berkenaan.
Semasa Perang Dunia Kedua, Rusia (ketika itu dikenali Kesatuan Republik Sosialis Soviet) dan China kehilangan banyak nyawa. Nyawa tentera dan orang awamnya yang melayang dalam perang mencecah lebih daripada separuh angka kematian seluruh dunia, yang dianggarkan antara 70 dan 85 juta orang.
Di sebalik tragedi sejagat itu sudah jauh ditinggalkan dalam lipatan sejarah, kita wajar mengenangnya sebagai satu pengajaran atau iktibar yang sangat bernilai. Ia memberi kita pemahaman yang tepat tentang apa yang perlu dijadikan sempadan dan apa pula yang wajar dijadikan teladan.
Sebelum perang berakhir sekali pun, Perang Dunia Kedua sudah mengubah sikap masyarakat dunia terhadap hal ehwal antarabangsa.
Perlu diingatkan, slogan yang menarik "Bersatu kita teguh, bersatu kita menang" atau 'United we are strong – united we will win', sangat popular dalam kalangan pihak Berikat, yang juga dikenali sebagai Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 1945, PBB diasaskan dengan matlamat seperti digariskan dalam piagamnya iaitu "untuk menyelamatkan generasi-generasi yang berikut daripada kesengsaraan peperangan".
Disebabkan Perang Dunia Kedua juga, muncul gelombang gerakan pembebasan dan anti-penjajahan yang melahirkan beberapa negara baharu, termasuk Malaysia – yang kini bebas dan merdeka. Tentunya bukan kerana perang, tetapi berdiri atas faktor di mana cita-cita rakyatnya yang semakin meningkat mahukan keamanan serta aturan antarabangsa yang lebih saksama lagi demokratik.
Dan, 76 tahun sudah berlalu. Namun, jalannya masih panjang dan berliku. Kita masih ada halangan di sana dan di sini untuk menuju kepada destinasi atau mencapai kepada aturan itu.
Hari ini, dunia sekali berdepan kekacauan. Keadaan tidak stabil dan tidak menentu makin ketara.
Kemanusiaan pula menanggung sengsara akibat tadbir urus dan keyakinan dalam hal ehwal antarabangsa yang semakin berkurangan, kesenjangan pembangunan yang melebar dan potensi konflik yang meningkat.
Memastikan keselamatan bersama dan menggalakkan pembangunan lestari masih lagi suatu cabaran yang getir. Penggunaan, pendekatan dan ancaman kekerasan semakin menjadi ciri penting dalam hubungan antarabangsa.
Kita masih lagi menyaksikan usaha kuasa-kuasa tertentu untuk memecah-belahkan dunia atas garis ideologi, mencampuri urusan dalaman negara-negara berdaulat, mendorong politik kuasa atau malah "perang dingin baharu" dalam persaingan menang atau kalah, dan meremehkan kerangka perundangan dalam sistem hubungan antarabangsa.
Sekatan unilateral, termasuk sekatan luar wilayah, membantutkan pelaksanaan penuh matlamat pembangunan mapan, terutama di negara-negara membangun.
Ia seterusnya memberikan kesan kemanusiaan yang buruk kepada penduduk awam, terutama ketika seluruh dunia sedang mengharungi pandemik. Memburukkan keadaan, ancaman keganasan, ekstremisme dan gerakan pemisahan semakin meningkat.
Tambahan pula, pandemik telah menyulitkan lagi masalah-masalah ini serta memberikan kesan jangka panjang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik dunia dan seluruh sistem hubungan antarabangsa.
Malangnya, isu-isu vaksin dan virus yang dipolitikkan dan bukannya ditangani dengan solidariti, semakin memburukkan lagi keadaan sehingga mengorbankan kesihatan serta kehidupan jutaan orang di seluruh dunia.
Terdapat banyak rintangan yang sangat luar biasa yang harus diatasi oleh dunia. Semua cita-cita yang kita usahakan sukar untuk dicapai.
Bagaimanapun, ketika masa masa depan dunia sememangnya tidak menentu, setiap negara memilih untuk menjadi sebahagian daripada dunia secara bersama, dan bukannya dunia individu.
Mereka mahu hidup aman, stabil dan makmur. Ini memberikan kita harapan bahawa cita-cita itu masih dalam jangkauan boleh dicapai.
Aturan antarabangsa pelbagai hala dan pelbagai pihak yang sejati akan memenuhi keperluan kita. Kita harus mengatasi perbezaan dan pergeseran, sambil melindungi kebebasan dan keunikan masing-masing.
Kita wajar berpegang kepada kepentingan bersama dan berganding bahu mempertahan dan menggalakkan tata cara antarabangsa yang berpaksi kepada pada undang-undang antarabangsa.
Kita harus mempertahankan penyelarasan berpusat sistem antarabangsa oleh PBB serta prinsip-prinsip kesaksamaan, saling menghormati, tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara berdaulat, penyelesaian damai untuk pertikaian, menolak hukuman unilateral, demi untuk bekerjasama mengatasi cabaran bersama.
Semua antara kita perlu berkongsi nilai-nilai ini. Itulah satu-satunya yang perlu kita perteguhkan untuk sama-sama memikul tanggungjawab mengekalkan keamanan, kestabilan dan keselamatan antarabangsa, dan sama-sama menangani masalah-masalah dunia yang paling kritikal ketika ini.
Dengan kata lain, gerakan yang konsisten, langkah demi langkah ke arah itu sangat diperlukan.
Moscow dan Beijing kini bergerak di landasan tepat menuju ke arah itu. Ini ditegaskan oleh pemimpin kami dalam satu kenyataan bersama sempena ulang tahun ke-20 Perjanjian Rusia-China tentang kejiranan yang baik dan kerjasama yang ramah pada 28 Jun 2021.
Kerjasama strategik menyeluruh Rusia-China, walaupun bukan satu perikatan ketenteraan dan politik, ia mewakili "suatu model bentuk baharu hubungan antara negeri yang memenuhi kepentingan asas dua negara dan cita-cita rakyatnya, yang juga memainkan peranan penting dalam memajukan tata cara dunia multipolar dan memastikan keselamatan dan kestabilan antarabangsa dan serantau".
Kami sangat percaya setiap negara yang menjalin hubungan dua hala seperti itu dengan negara-negara jiran dan jauh boleh menyumbang ke arah masa depan yang lebih baik, sekali gus untuk negara itu sendiri dan seluruh dunia, amnya.
Melihat kepada kemunculan Malaysia sebagai aktor yang aktif, bertanggungjawab dan berpengaruh di pentas dunia, kami percaya sahabat-sahabat di Malaysia, serta rakan-rakan di ASEAN yang lain, sebagai mereka yang sealiran, berfikir dan bertindak untuk sejagat.
Apa yang akan berlaku seterusnya bergantung penuh pada kita semua. Pada lapis lain, ia meyakinkan kita sekali lagi bahawa era baharu hubungan antarabangsa akan membuka lembarannya.

* Naiyl Latypov adalah Duta Besar Khas Persekutuan Rusia ke Malaysia manakala, Ouyang Yujing merupakan Duta Besar Khas China ke Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #Perang Dunia Kedua #era baharu hubungan antarabangsa #Rusia #China
;