[KOLUMNIS] Palestin Merdeka: 36 tahun menanti kebebasan hakiki

Muhammad Khairul Iman Hussin
November 15, 2024 13:00 MYT
Bagi Hamas, kedaulatan Palestin adalah hak mutlak rakyat yang tidak boleh dikompromi; bagi Fatah, perdamaian dengan Israel dianggap penting untuk meredakan ketegangan yang berterusan. - Gambar fail/REUTERS
HARI ini, genap 36 tahun sejak deklarasi kemerdekaan Palestin diumumkan oleh Yasser Arafat, yang ketika itu merupakan Pengerusi PLO, pada 15 November 1988. Kemerdekaan ini meliputi seluruh wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, Baitul Maqdis, dan Gaza.
Namun, usaha ini tidak disetujui oleh beberapa gerakan Islamiyah di Palestin, termasuk Hamas, yang dipimpin oleh Syeikh Ahmad Yassin. Hamas berpendapat bahawa naratif dalam deklarasi kemerdekaan ini bersifat implisit, kerana ia dianggap membawa justifikasi terhadap hak dan kependudukan Israel di Palestin.
Hakikatnya, normalisasi hubungan dengan Israel telah berlaku melalui Perjanjian Oslo 1993, yang telah memecah-belahkan kesatuan rakyat Palestin sejak saat itu. Terutama, perpecahan dalaman antara Hamas dan Fatah.
Bagi Hamas, kedaulatan Palestin adalah hak mutlak rakyat Palestin yang tidak boleh dikompromi, walau seinci tanah sekalipun. Sebaliknya, bagi Fatah, perdamaian dengan Israel dianggap penting untuk meredakan ketegangan yang berterusan.
Sudut pandang ini bersifat subjektif, dan hak untuk menilainya adalah milik setiap individu. Namun, apa yang pasti adalah bahawa sebagai umat Islam, kita perlu bersatu dan memahami bahawa perjuangan kemerdekaan Palestin adalah perjuangan yang jelas dan nyata. Fahami dan insafi dengan sebaiknya demi mencapai sebuah kebebasan yang hakiki.
Sebagai penutup, GPM ini ingin mengajak semua Muslim yang bersaudara untuk menekuni ucapan Sultan Abdulhamid II, yang wajar kita insafi dalam usahanya mempertahan kedaulatan Palestin yang tercinta daripada sang Penjajah Zionis Israel.
“Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan bumi Palestin meskipun hanya sejengkal. Tanah Palestin bukan milikku, tetapi milik umat Islam..
...Selagi aku masih hidup, maka goresan pisau di tubuhku terasa lebih ringan bagi diriku daripada aku menyaksikan Palestin terlepas daripada khilafah. Ini perkara yang tidak boleh terjadi.”

* Penulis ialah penyelidik di Jabatan Pembangunan Penyelidikan dan Advokasi GPM
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Palestin #Hamas #fatah #deklarasi kemerdekaan Palestin
;