[KOLUMNIS] Memo Dari Patani: Proses damai gagal cerminkan realiti di lapangan
Asmadee Bueheng
Julai 31, 2022 22:40 MYT
Julai 31, 2022 22:40 MYT
MENJELANG subuh pada pagi 26 Julai 2022, berpuluh-puluh pegawai keselamatan Kerajaan Thailand memberikan tumpuan kepada dua individu yang disyaki anggota militan prokemerdekaan tempatan ketika mereka bersembunyi di satu kawasan di pinggir Yala.
Kedua-dua mereka cuba menahan asakan dalam dua pusingan tembak-menembak - pertama pada pukul 5.20 pagi dan kedua pada pukul 9.00. Malangnya mereka terbunuh di tempat kejadian.
Seperti dalam semua pertempuran lain sebelum ini, pemberontak Patani memilih untuk berjuang bermati-matian dan enggan menyerah diri dan berhadapan dengan sistem keadilan Thai.
Kedua-dua individu berkenaan adalah anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN), salah satu gerakan prokemerdekaan Patani yang sudah lama bertapak dan kini menguasai hampir semua anggota pemberontak di lapangan.
Pertempuran antara anggota pemberontak dan tentera Thai telah lama menjadi salah satu ciri utama dalam gelombang pemberontakan yang muncul semula sejak 18 tahun lalu di wilayah yang penuh dengan pertikaian sejarah ini.
Pada mulanya, pemberontak BRN memfokuskan serangan mereka ke atas kedudukan pasukan keselamatan, menyebabkan kerosakan serius kepada pihak Thai.
Tetapi sejak lapan tahun lalu, pemberontak telah mengurangkan serangan mereka atas pelbagai faktor, antaranya disebabkan oleh rangkaian keselamatan kerajaan yang telah berkembang ke kawasan pedalaman.
Sementara itu, ada juga individu dibayar untuk memberikan maklumat. Teknologi komunikasi dan pengumpulan risikan oleh agensi kerajaan juga memainkan peranan yang besar.
Pada April 2020, BRN melaksanakan gencatan senjata secara unilateral sebagai respons kepada permintaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres supaya semua pihak meletakkan senjata dan menumpukan perhatian untuk membendung penularan wabak COVID-19, bagaimanapun operasi tentera Thai tetap diteruskan.
Lebih daripada 60 pemberontak BRN telah terbunuh dalam tempoh itu (antara April 2020 hingga Julai 2022). Pada masa yang sama, berlangsung perbincangan antara kerajaan Thailand dan wakil BRN tentang bagaimana rundingan perlu diadakan di bawah Perlembagaan Thai.
Gagal memahami komitmen pemberontak ini terhadap perjuangan mereka, pegawai Thai cenderung untuk melabelkan pemberontakan BRN sebagai pelampau atau gila.
Secara teorinya, “counterinsurgency” sepatutnya bertujuan untuk memenangi hati dan minda masyarakat setempat. Tujuannya untuk menghentikan sokongan pemberontak di lapangan. Tetapi dalam kes Patani, ia lebih kepada memberi pengajaran kepada BRN.
Sukrifee Lateh, seorang aktivis pemuda Melayu Patani berkata beliau menghargai komitmen pejuang BRN tetapi tersinggung dengan sikap "all of nothing” yang diamalkan agensi keselamatan Thailand. Pada masa yang sama, kata Sukrifee, realiti di lapangan sama sekali tidak mencerminkan keyakinan perunding Thailand yang bercakap tentang harapan, dan keyakinan.
Di sebalik operasi tentera Thai yang berterusan di lapangan, perunding Thailand masih mahu meminta supaya BRN berundur. Gencatan senjata yang berakhir baru-baru ini, termasuk semasa sambutan Ramadan lalu berjalan tanpa sebarang insiden ganas, sekurang-kurangnya tidak oleh BRN.
Pihak Thai dijangka meminta gencatan senjata dengan BRN selama tiga bulan sempena perayaan keagamaan Buddha tahun ini semasa rundingan bersemuka seterusnya pada awal Ogos 2022.
Sebagai sebahagian daripada langkah "menjaga air muka", pegawai Thai dijangka menyatakan permintaan itu datang daripada penganut Buddha Patani tempatan.
"Masa depan proses damai ini bakal gagal,” kata Sukrifee.
"Perbincangan di meja rundingan tidak ada kaitan dengan aktiviti di lapangan," katanya.
Malangnya, tiada titik rujukan untuk mengukur kemajuan atau kejayaannya.
Lebih-lebih lagi, tentera kerajaan di lapangan mempunyai agenda berbeza daripada pegawai kerajaan di meja rundingan. Maka, masih lama lagi untuk kita capai keamanan di tanah air bersejarah orang Melayu di Patani ini.
* Asmadee Bueheng ialah Pembantu Presiden "The Patani" yang bertanggungjawab dalam strategi komunikasi. "The Patani" merupakan sebuah kumpulan bertindak politik yang memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri untuk masyarakat Patani.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.