[KOLUMNIS] Malaysia tidak perlu bayar satu sen pun kepada waris Kiram

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Mohd Ridwan Talib
Ogos 8, 2022 12:02 MYT
Sepucuk surat yang dikirim oleh Peguam Negara Malaysia pada tahun 2019 yang menyatakan kekesalan di atas pemberhentian pembayaran adalah suatu kekhilafan besar dan tidak seharusnya berlaku. - Foto Astro AWANI
DUNIA telah lama mengakui kedaulatan Malaysia ke atas Sabah sebagai negeri komponen dalam Persekutuan.
Malaysia telahpun melabur berbilion ringgit untuk memajukan Sabah dan mentadbir negeri ini sebagai sebahagian dari wilayahnya.
Sejak 1878, waris Kesultanan Sulu tidak pernah menyumbang secara jelas dalam menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi Sabah.
Apabila Sabah dilanggar Jepun, tidak ada perwira Sulu yang bangkit menentang Jepun dengan sesungguhnya.
Malaysia tidak perlu membayar satu sen pun kepada waris Kesultanan Sulu yang telah runtuh apabila dihapuskan oleh penjajah Amerika pada tahun 1915.
Perjanjian pada tahun 1878 yang ditandatangani antara Sultan Sulu dan dua ejen British, Baron Von Overbeck dan Alfred Dent telah digunakan oleh waris Kiram, untuk menuntut ‘wang serahan’ daripada Malaysia.
Sewaktu penjajahan Jepun pada tahun 1941, Sabah telah dijadikan tanah jajahan Jepun dan pastinya tidak membayar ‘wang serahan’ kepada waris Kiram.
Sabah mencapai kemerdekaan apabila ia membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Malaysia secara konsisten membayar ‘wang serahan’ atau ‘wang ganti rugi’ berjumlah RM5,300 kepada waris Kiram sehingga tahun 2013.
Ini adalah jumlah yang sedikit, berjumlah lebih kurang RM441.67 per bulan.
Kos bulanan pembayaran penyewaan atau pembiayaan perumahan yang dibayar rakyat Malaysia berjumlah lebih besar dari jumlah yang dibayar kepada waris Kiram.
Malaysia tidak perlu membayar sesen pun kepada waris Kiram kerana:
(a) Malaysia memiliki kedaulatan ke atas Sabah
(b) Kesultanan Sulu telah terhapus pada tahun 1915
(c) Perjanjian 1878 telah terhapus dengan penjajahan Jepun pada tahun 1941
(d) Proses Timbangtara di Sepanyol tidak sah disisi Undang-Undang
(e) Tidak wujud perjanjian timbangtara dalam perjanjian 1878 dan proses timbangtara tidak boleh dipaksa
Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak seharusnya membayar satu sen pun kepada waris Kiram sejak 1963.
Walau bagaimanapun, berkemungkinan atas dasar muhibah, kerajaan pada ketika itu tetap membayar wang sejumlah RM5,300 setiap tahun.
Kes 1939
Pada 1939, nenek moyang generasi terkini waris Kiram telah memfailkan tuntutan berkenaan dengan wang ganti rugi di bawah Perjanjian 1878 di Mahkamah Tinggi Sandakan, Sabah.
Hakim telah memutuskan untuk memperakui pembayaran wang tersebut kepada waris Kiram.
Kes ini jelas membuktikan bahawa waris Kiram sebenarnya telah memperakui bidang kuasa mahkamah Malaysia untuk memutuskan sebarang pertikaian berkenaan perjanjian tersebut dan bukannya merujuk kepada proses timbang tara.
Justeru, mengapa generasi terkini Kiram mengheret isu ini ke timbang tara di Sepanyol?
Logiknya, sebagai waris kepada generasi terdahulu, generasi terkini Kiram terikat secara Undang-Undang dengan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 1939.
Kes 2020
Pada tahun 2020, dalam usaha untuk menghentikan proses timbang tara di Sepanyol, kerajaan Malaysia telah memohon perintah injuksi dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah. Antara isu-isu yang perlu diputuskan ialah samada:
(i) Wujudnya klausa timbang tara dalam Perjanjian 1878
(ii) Malaysia telah bersetuju untuk merujuk pertikaian ke proses timbang tara
(iii) Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sebarang pertelingkahan berkaitan dengan Perjanjian 1878
Timbang tara tidak boleh dipaksa
Dalam kes 2020, hakim telah memutuskan bahawa tidak wujud apa-apa klausa timbang tara atau perjanjian timbang tara antara kedua pihak dalam Perjanjian 1878.
Ini bermakna, kedua-dua pihak iaitu, Malaysia dan waris Kiram tidak pernah bersetuju untuk merujuk kepada proses timbang tara.
Jika pun ada, persetujuan kedua-dua belah pihak mestilah ditunjukkan dengan kewujudan Perjanjian Timbang Tara atau Klausa Timbang Tara. Maka, ketiadaan perjanjian atau klausa timbang tara tidak mewajarkan waris Kiram untuk mengheret isu ini ke timbang tara di Sepanyol.
Tambahan pula, Seksyen 9 (1) Akta Timbangtara 2005 (Akta 646) mentakrifkan perjanjian timbang tara sebagai, “suatu perjanjian oleh pihak-pihak untuk mengemukakan kepada timbang tara semua pertikaian atau pertikaian tertentu yang telah timbul atau mungkin timbul antara mereka berkenaan dengan hubungan disisi Undang-Undang...”.
Seksyen 9 (2) pula menjelaskan bahawa perjanjian timbang tara boleh dibentuk sama ada dalam klausa timbang tara atau satu perjanjian timbang tara yang berasingan.
Timbang tara Sepanyol tidak sah
Proses timbang tara di Sepanyol jelas telah mencabuli hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Malah, ia juga telah membelakangkan satu isu perundangan penting i.e. sama ada Sepanyol mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan apa-apa pertikaian berkaitan dengan Perjanjian 1878.
Berdasarkan Protokol Madrid 1885 yang ditandatangani oleh Sepanyol, Britain dan Jerman, Sepanyol telah melepaskan haknya keatas Kepulauan Sulu.
Selain itu, kedudukan British di Sabah juga telah diperakui oleh Sepanyol.
Ini bermakna, Sepanyol tidak ada sebarang kaitan sama ada terhadap Perjanjian 1878, mahupun keatas Sabah.
Maka, Sepanyol tidak ada bidang kuasa dalam hal ini. Pihak yang ada bidang kuasa ialah Malaysia.
Hal ini jelas apabila Seksyen 23 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) memberikan bidang kuasa tersebut kepada mahkamah di Malaysia kerana Sabah terletak dalam Malaysia.
Pendek kata, bidang kuasa merujuk kepada tempat di mana pertikaian berlaku.
Oleh sebab tiada bukti menunjukkan Malaysia telah menyerahkan kedaulatannya kepada proses timbang tara, ‘award’ yang diberikan oleh penimbang tara Sepanyol itu tidak sah dan tidak boleh dikuat kuasa oleh Undang-Undang.
Kesimpulan
Adalah tidak salah bagi kerajaan berhenti membuat pembayaran pada tahun 2013 kerana Putrajaya tidak perlu berurusan dengan pengganas ataupun kesultanan yang telah terhapus.
Walau bagaimanapun, sepucuk surat yang dikirim oleh Peguam Negara Malaysia pada tahun 2019 yang menyatakan kekesalan di atas pemberhentian pembayaran adalah suatu kekhilafan besar dan tidak seharusnya berlaku.
Kenapa perlu Malaysia menyesali tidak membuat pembayaran kepada waris Kiram sedangkan Sabah dengan jelas milik Malaysia?
Kenapa perlu Malaysia menuruti perjanjian zaman penjajahan yang ditandatangani oleh entiti yang bukan lagi sebuah negara berdaulat?
Oleh kerana Sabah diiktiraf dunia milik Malaysia, Putrajaya tidak perlu melayani tuntutan tidak masuk akal waris Kiram.
Pengajaran harus diambil daripada ‘Timbang tara Sulu’ yang tidak dikehendaki ini yang telah memperlekehkan kepentingan Malaysia. Kerajaan yang mentadbir perlu bersiap siaga dan tegas dalam bertindak ke atas sebarang pihak yang mencabar kedaulatan Malaysia.
Sememangnya Malaysia tidak perlu membayar satu sen pun kepada waris Kiram.

* Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Felo Penyelidik di The Australian National University (ANU) Malaysia Institute, Canberra, Australia.
* Mohd Ridwan Talib ialah Peguambela dan Peguamcara tidak beramal di Mahkamah Tinggi Malaya.
* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#tuntutan waris Kiram #tuntutan Sulu #kedaulatan Malaysia #geopolitik
;