[KOLUMNIS] Kemenangan Donald Trump: Kunci atau penghalang kepada keamanan Palestin?
Muhammad Khairul Iman Hussin
November 8, 2024 08:45 MYT
November 8, 2024 08:45 MYT
KEMENANGAN Donald Trump dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 telah memberi kesan besar kepada situasi Palestin, terutama sejak Trump memulakan kempen pada 7 Oktober 2024. Trump berikrar untuk menjaga keselamatan Israel dan menekankan bahawa beliau akan terus mengawal gerakan pro-Palestin di AS, terutama di institut pengajian tinggi, yang dianggapnya mencetuskan kebencian terhadap Israel dan merosakkan hubungan AS dengan sekutunya, Israel.
Kemenangan tersebut mengingatkan kembali detik hitam bagi Dunia Islam, terutama Palestin, semasa Trump menjadi Presiden AS ke-45 pada 2017. Trump mengumumkan pengiktirafan Jerusalem sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember 2017, dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem pada 14 Mei 2018, menjadikannya kedutaan AS pertama yang beroperasi di sana. Tindakan ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam dan Palestin.
Selain itu, Trump turut memotong bantuan kemanusiaan Palestin melalui Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada 2018, dan menghentikan bantuan berbilion dolar kepada kerajaan Palestin. Tindakan ini bertujuan untuk menekan Palestin agar kembali kemeja rundingan. Namun begitu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menegaskan bahawa Palestin tidak akan berunding selagi Trump tidak menarik balik pengiktirafan Jerusalem sebagai ibu negara Israel.
Dengan kemenangan tersebut, dasar anti-Palestin Trump dijangka akan diteruskan, malah berkemungkinan dipertingkatkan dalam tempoh empat tahun akan datang. Tekanan yang berterusan akan terus dirasai oleh rakyat Palestin, khususnya di Gaza, yang kini berada dalam situasi krisis kemanusiaan yang kian memburuk, dengan jumlah korban terkini melebihi 44,000 nyawa.
Sebagai respons, HAMAS menyatakan bahawa pendirian mereka terhadap pentadbiran AS akan bergantung kepada tindakan Trump terhadap hak-hak rakyat Palestin. Mereka berharap Trump akan belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh Presiden Biden, yang juga dianggap memperkuat sokongan kepada Israel dalam konflik Gaza. Hamas menekankan bahawa tindakan nyata perlu diambil untuk melindungi hak-hak Palestin bagi menentukan hubungan masa depan mereka dengan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengharapkan agar Trump menggunakan kuasanya untuk menghentikan keganasan yang menimpa Palestin dan Ukraine. Anwar juga menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperjuang hak rakyat Palestin meskipun menghadapi tekanan dari negara-negara Barat, dan akan menyokong sebarang usaha untuk menghentikan penindasan yang berlaku.
Sehubungan dengan itu, mengambil aspirasi Perdana Menteri Malaysia, Global Peace Mission (GPM) Malaysia berharap agar kepimpinan baru AS di bawah Era Donald Trump dapat melakukan penilaian semula dan perubahan demi keamanan dan kestabilan sejagat.
GPM percaya bahawa perubahan harus bermula dengan pendekatan dasar yang lebih empati danbertimbang rasa dalam menangani isu-isu utama yang melibatkan hak asasi manusia serta kebebasan rakyat Palestin. Langkah ini perlu mengutamakan keadilan terhadap hak-hak rakyat Palestin sebagai kunci untuk mencapai kedamaian yang berpanjangan di Timur Tengah secara keseluruhan.
“Misi Kemanusiaan Merentasi Sempadan”
* Penulis ialah Penyelidik di Jabatan Penyelidikan dan Advokasi, GPM
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.