[KOLUMNIS] Ke mana hala tuju hubungan ASEAN dan China?

Mohd Imran Tamrin
September 12, 2023 01:40 MYT
Persoalan yang ditimbulkan ialah, bagaimana bentuk kerjasama yang diharapkan oleh China dan adakah China ingin negara-negara ASEAN mengiktirafnya sebagai abang besar di rantau Asia? - Gambar fail Reuters/Philippine Coast Guard
BEBERAPA maklum balas telah diterima berikutan penerbitan Peta Standard China Edisi 2023. Antaranya ialah wujud kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia yang merasakan bahawa tindakan China ini perlu dikritik demi menjaga kestabilan di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, Presiden Indonesia Joko Widodo telah menyatakan bahawa hubungan ASEAN dan China hendaklah terbina melalui aspek kepercayaan. Kerjasama sebenar hanya akan terwujud jika China dan ASEAN mempercayai satu sama lain.
Jiran ASEAN Malaysia, iaitu Filipina, menjadi mangsa dan sasaran kepada China beberapa hari lepas apabila Pengawal Pantai China menghalang Pengawal Pantai Filipina untuk menghantar bekalan kepada BRP Sierra Madre yang mengawal Beting Ayugin.
China menghantar 10 buah kapal untuk mengepung dan menghalang Pengawal Pantai Filipina. Keadaan ini berlaku baru-baru ini dan berdasarkan video yang tular di laman X dan Facebook, jarak dan lokasi antara kapal Pengawal Pantai China dan Filipina sangat dekat dan boleh menyebabkan pertempuran berlaku.
Perkara ini amat merisaukan dan meningkatkan lagi ketegangan antara negara ASEAN dan China. Senario seperti ini lambat laun akan menghadirkan konflik senjata di rantau Asia.
Perkara ini bertentangan dengan visi Premier Republik Rakyat China, Li Qiang yang menyatakan keamanan dan kestabilan di rantau Asia akan terjamin. Li Qiang juga menyatakan bahawa ASEAN dan China akan mampu menangani sebarang permasalahan dengan adanya kerjasama yang kukuh.
Persoalan yang timbul ialah bagaimana bentuk kerjasama yang diharapkan oleh China? Adakah China ingin negara-negara ASEAN mengiktiraf China sebagai ‘abang besar’ di rantau Asia?
Sekiranya benar, maka ia lebih kepada penjajahan bentuk baharu dan bukannya kerjasama antara negara yang berdaulat.
China juga perlu menjadi ‘sahabat akrab’ kepada negara-negara ASEAN dan bukannya menjadi ‘musuh ketat’ kepada semua. Tindakan China yang mengancam kapal perang Canada di perairan Taiwan menunjukkan bahawa China akan bermusuh dengan sesiapa sahaja. Tidak kira dengan negara Asia mahu pun Barat.
Hal ini menjadi polemik juga kepada negara-negara ASEAN yang telah bersetuju untuk menjadi negara yang berkecuali untuk mengelakkan konflik yang bakal berlaku. China dilihat akan melakukan apa-apa sahaja perkara yang boleh menunjukkan kekuatan mereka.
Malah, pengaruh ‘Nine Dash Line’ China turut melebar hingga ke filem Barbie yang menampilkan peta membenarkan tuntutan China terhadap kawasan perairan di Filipina. Hal ini menyebabkan Filipina mengharamkan tayangan filem tersebut di sana.
Malaysia juga perlu menyedari bahawa Premier China, Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEAN telah memberi amaran mengenai risiko berlakunya Perang Dingin Baharu sekiranya dilihat tidak sehaluan dalam membuat keputusan.
Sekiranya dicermati dengan sebaiknya, amaran China ini bersifat provokatif dan pertunjukkan kuasa kepada negara-negara ASEAN. Oleh itu, pemimpin kanan negara perlu bersedia dan tidak hanya retorik ucapan semata-mata.
Sekiranya benar pertikaian ini hendak diselesaikan dengan undangundang antarabangsa, maka Malaysia perlu menjadi negara pertama yang membawa China ke meja rundingan. Malaysia juga perlu bersama-sama negara-negara ASEAN untuk menyerahkan nota bantahan kolektif kepada China.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, Malaysia melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa pertikaian di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman mengikut undang-undang antarabangsa.
Perkara ini difahami kerana China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Oleh itu, penyelesaian yang lebih aman amat diperlukan tanpa membuatkan mana-mana pihak bertindak lebih provokatif.
Namun demikian, Kerajaan juga perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Pengukuhan kepada aset ketenteraan perlu dilakukan. Hal ini demikian kerana, aset ketenteraan yang kukuh khususnya aset maritim merupakan blok penghalang kepada pencerobohan.
Malaysia misalnya merupakan negara yang dikelilingi oleh lautan. Jarak persisiran pantai Malaysia ialah seluas 4,492 km iaitu 1,737 km bagi Semenanjung Malaysia dan 2,755 km bagi Sabah Sarawak.
Hal ini memerlukan kepada pengawalan pesisiran pantai menggunakan aset maritim yang mempunyai teknologi yang terbaharu dan lebih mampan.
Bagi memastikan kedaulatan negara, ucapan retorik yang menyakinkan rakyat tidak cukup. Kementerian Pertahanan perlu memastikan aset ketenteraan kita cukup dan mampu berfungsi dengan efektif. Kapal Tempur Pesisir Pantai perlu disegerakan pembuatannya bagi membantu memperkukuh pengawalan pesisir pantai negara kita.
Selain itu, kerjasama antara negara jiran juga amat diperlukan bagi memastikan pencerobohan tidak berlaku dalam Zon Eksklusif Ekonomi milik negara. Hanya dengan tindakan yang proaktif dan pengukuhan aset ketenteraan, Kerajaan akan dapat meminimakan impak yang bakal diperoleh disebabkan oleh konflik tuntutan di Laut China Selatan.
Apa-apa pun, Kerajaan seharusnya bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku dan tidak hanya duduk berdiam diri seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi.

* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#ASEAN #Laut China Selatan #China #provokasi ketenteraan