[KOLUMNIS] Hegemoni Barat menguasai Davos

Karim Raslan
Mei 30, 2022 16:22 MYT
Hari ini, ketika Indonesia bersorak di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, delegasi Asia Tenggara lain kelihatannya lebih senyap, malah seperti tiada. - REUTERS
DI tengah atas sebuah gunung, Malam Indonesia sedang rancak berlangsung di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Dewan itu penuh dengan para tetamu yang dijamu nasi goreng, keropok dan nasi pepes.
Penari-penari Papua dalam suluhan lampu neon berputar mengikut rentak muzik dengan setiap orang berasa senang. Seorang pegawai kanan kerajaan yang semangatnya turut melonjak telah menaiki pentas dengan memakai tengkolok bulu burung Papua dan menyanyi lagu "What a Wonderful World" .
Betapa zaman sudah berubah.
Ketika saya pertama kali menghadiri WEF dalam tahun 2002, (ketika itu ia diadakan di New York sebagai pernyataan solidariti pasca 9/11), kehadiran Indonesia adalah kecil. Kesan keruntuhan ekonomi 1998 masih menyelubungi mereka dan beberapa menteri yang hadir mendapati acara yang mereka anjurkan tidak mendapat sambutan. Mengapa perlu orang berminat pada sebuah negara yang sedang bermasalah kewangan?
Sementara itu, dengan hebatnya, pasukan ahli perniagaan dan pegawai Malaysia menyertai persidangan itu diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hari ini, ketika Indonesia bersorak, delegasi Asia Tenggara lain kelihatannya lebih senyap, malah seperti tiada.
Akhirnya ia adalah soal keyakinan terhadap kepimpinan negara.
Pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara tahun ini dijangka, umumnya adalah padu. Sementara Indonesia juga bergelut dengan COVID-19, rakyatnya percaya bahawa kerajaan mereka boleh menangani krisis-krisis yang tidak dijangka. Walaupun ia jauh daripada sempurna, tetapi fokusnya adalah terhadap masa depan.
Keyakinan ini akan membawa kepada perubahan pada bulan-bulan dan tahun-tahun mendatang.
Mengapa?
Tentunya dengan segala para hadirin bertaraf tinggi berlegar-legar di Promenade, suasana liar WEF kini kelihatannya sudah ketinggalan zaman, kalau pun ia tidak berguna lagi. Dengan adanya majlis makan malam yang mewah, champagne Perrier Jouet, astaka korporat dan chlalet gaya seperti penjahat dalam filem Bond, terdapat suatu perasaan bahawa era globalisasi neoliberal yang membawa begitu banyak kemakmuran kepada Asia Tenggara sedang berakhir.
Orang Rusia (terutamanya para oligark) tidak hadir, ia merupkan suatu yang tidak mengejutkan. Bangunan "Rumah Rusia" di Davos kini diduduki orang Ukraine dan menamakannya semula sebagai "Rumah Jenayah Perang Rusia" .
Lebih ketara, hanya segelintir warga China hadir. Sekatan COVID-19 amat ketat tetapi lebih menakutkan ialah gambaran bahawa China adalah musuh yang wajar dipencilkan.
Dengan menggunakan gantinama diraja "KITA", orang Amerika dan Eropah telah menguasai, dan Ukraine mendominasi kesemua diskusi.
"KITA" telah memutuskan bahawa globalisasi mesti dihentikan. Asasnya, empat dekad pembuatan polisi, perdagangan bebas, dan keseluruhan superstruktur WTO (sejak 1995) harus dimansuhkan. Di tempatnya, digantikan dengan "ketahanan", "perkongsian-rakan", dan "perdagangan pacuan-nilai" .
Apakah makna kesemua ini? Ternyata idea bahawa "KITA" itu hanya menjalankan perniagaan dengan kawan-kawan kita — orang yang berkongsi kepercayaan. "KITA" adalah negara-negara demokrasi dan "MEREKA" adalah negara-negara autokrasi.
Bahawa orang Amerika menzahirkan nada garang adalah suatu yang tidak mengejutkan. Lebih mengejutkan ialah transformasi Ursula von der Leyen, Presiden Suruhanjaya Eropah, daripada seorang birokrat Jerman yang bersifat damai- (dan bertaraf kedua) kepada seorang Valkyrie yang menaiki pentas untuk mengerah pasukan dengan janji-janji kegemilangan.
Mungkin ini juga tidak mengejutkan; perang umumnya adalah merupakan DNA Eropah. Ingat Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua? Juga Perang-perang Napoleon?
Sedihnya "KITA" tidak begitu berminat terhdap apa yang "kita" iaitu YANG LAIN fikir atau mahu. Jika YANG LAIN menolak, kita akan dilihat sebagai pihak konspirator bersama dan merupakan musuh.
Mereka cuba menarik yang lain: saksikanlah Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang kandungannya begitu kecil. Apa yang mereka sebenarnya mahu ialah supaya kita berdiam diri, masuk barisan dan kemudian meningkatkan keupayaan senjata masing-masing — dengan membeli senjata-senjata mereka yang mahal.
Semua orang waras mahukan pelanggaran ke atas Ukraine ditamatkan, dengan kemerdekaannya, integriti wilayahnya dan demokrasi dikekalkan.
Namun, dengan mengecualikan pesaing-pesaing mereka, orang Amerika dan Eropah sekali lagi menggabungkan Barat ("KITA") dengan "YANG LAIN" .
Bagaimana ia menjdi Forum Ekonomi "Dunia" apabila perkara yang diambil berat oleh Asia, yang menyumbangkan 60% kepada pertumbuhan global menjelang 2030 tidak diambil peduli?
Barat mungkin pada hakikatnya sedang bersedia untuk berpisah dengan yang lain.
Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo baru-baru ini telah menggesa Kongres untuk memberi insentif kepada pembuatan semikonduktor Amerika, dengan memberi amaran bahawa kebergantungan mereka terhadap Taiwan (yang masa depan mereka kekal merupakan tanda soal besar), yang membekalkan 70% cip komputer canggihnya adalah suatu yang tidak dapat diterima. Sebaliknya, Amerika mesti membuatnya sendiri.
Sama ada White House yang liberal akan mengambil langkah isolasi adalah suatu perkara yang boleh dibahaskan. Tetapi apa yang sepatutnya jelas ialah Amerika pun mungkin tidak akan menjadi pelanggan atau rakan dagang yang boleh sentiasa diharapkan bagi Asia, ketika mana rantaian bekalan serantau, dan bukannya global menjadi norma akibat polisi-polisi industri di Eropah dan AS yang bertujuan untuk memperolehi penguasaan ke atas teknologi asas.
Maka keperluan bagi Asia Tenggara untuk "bersuara" dan "menjaga kepentingan sendiri" kini menjadi suatu perkara yang lebih penting untuk disegerakan berbanding masa dulu.
Dan di sini, keyakinan, kepimpinan yang baik dan berkesan akan membawa kepada perubahan.
Maka tidak hairanlah orang Indonesia di Davos kelihatan begitu bersemangat.

*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Davos #Switzerland #Karim Raslan #WEF #Forum Ekonomi Dunia #Mahathir Mohamad #Indonesia #Malaysia
;