[KOLUMNIS] Biden undur, polisi sokong Israel kekal

Mohd Azmi Abdul Hamid
Julai 22, 2024 08:30 MYT
Kamala Harris (kiri) yang dipilih oleh Biden (kanan) untuk menentang Trump juga tidak akan mengubah dasar AS terhadap Israel. -Gambar fail/Bernama
DUNIA tidak terlalu terkejut pengumuman undur diri dari pemilihan Presiden Amerika oleh Joe Biden.
Masyarakat hanya mengikuti perkembangan politik Amerika Syarikat (AS) kerana cita-cita AS mahu terus menjadi negara polis dunia nombor 1.
Selebihnya dunia tahu AS ialah negara demokrasi paling hipokrit di dunia.
Pengunduran Biden dan cubaan bunuh Trump tidak mengubah sedikit pun dasar yang menyentuh soal menyokong Israel.
Baik calon parti Demokrat mahupun Republikan, siapa yang dipilih sebagai Presiden tetap dipengaruh kuat olehJawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) yang akan menentukan dasar AS menyokong Israel dengan polisi "genggaman besi" (iron clad) akan kekal.
Dalam perdebatan di AS yang sangat panas sekarang, isu menyokong Israel tetap akan menjadi dasar yang berkekalan sama ada dalam bentuk bantuan pertahanan tetap lebih AS$3 bilion setahun mahupun melindungi Israel dari setiap ketetapan pada sidang PBB dan keputusan undang-undang oleh mahkamah PBB iaitu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Tidak pernah ada resolusi yang tidak menyebelahi Israel yang disokong oleh AS.
AS mengguna kuasa veto sepenuhnya untuk memberi sokongan kepada Israel hatta terhadap semua jenayah perang, jenayah ke atas kemanusiaan, sistem aparteid dan genosid oleh Israel.
Israel mendapat status tidak akan dihukum (impunity) terhadap apa saja jenayah yang dilakukannya secara terang-terangan di mata dunia.
Dasar hipokrit inilah yang menjadi dasar AS tidak berubah oleh mana-mana Presiden yang dipilih.
Pada 6 Disember 2017, Donald Trump telah mengistiharkan Jerusalem (Baitulmuqaddis) sebagai ibu negara Israel.
Sementara Joe Biden meluluskan berbilion dolar bantuan ketenteraan kepada Israel untuk memusnahkan Gaza pada Oktober 2023 hingga sekarang.
Kamala Harris yang dipilih oleh Biden untuk menentang Trump juga tidak akan mengubah dasar AS terhadap Israel.
Hanya Harris, ibu berasal India dan bapa berasal Jamaica, satu-satunya pemimpin tertinggi AS yang mengeluarkan kata-kata genjatan senjata (ceasefire) ke atas Israel dalam isu genosid di Gaza.
Namun, Harris tetap mengisytiharkan sokongan kepada Israel seratus peratus.
Pada hakikatnya, banyak krisis yang kini melanda AS. Dari soal mata wang dolar akan berdepan dengan BRICS mahupun inflasi serta kedudukan pertumbuhan ekonomi yang lembap.
Ekonomi AS dijangka hilang momentum apabila trend permintaan domestik menurun akibat kos dan kadar faedah meningkat.
KDNK menunjukkan aliran menurun secara dramatik kepada 1.4 persen pada suku pertama 2024.
Apatah lagi wang AS mengalir besar untuk membiayai perang di Gaza dan Ukraine. Bebanan Presiden AS untuk menanggung pemulihan ekonomi dan kewangan negara amatlah berat.
Agenda AS untuk meneruskan penguasaan militari dan perdagangan dunia tidak nampak seperti mampu bertahan.
Bebanan ke atas kewangan AS amat besar. Pada 2023, perbelanjaan militari AS adalah 37 peratus ( AS$916 bilion) dari jumlah perbelanjaan militari seluruh dunia.
Dalam konteks ini, siapa saja yang dipilih menjadi Presiden AS bakal berdepan isu ekonomi yang sangat berat.
Sudah sampai masanya masyarakat dunia memberi pengaruh kepada politik AS dan bukan sebaliknya.
Dengan wujudnya BRICS, AS bakal terpencil. Sebarang polisi luarnya tidak boleh lagi menjuruskan kepada Israel.
Israel adalah projek AS untuk menguasai hegemoni geopolitik Asia Barat. Tanda Israel sendiri tidak lagi boleh berharap sepenuhnya kepada AS menunjukkan AS harus mengalih perhatian.
AS kini terperangkap dalam percaturannya untuk bersaing dengan kuasa besar yang lain iaitu Rusia dan China. Sementara Iran tetap terus menjadi cabaran besar buat Amerika.
Untuk berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat antarabangsa, AS akan bertambah bebannya untuk mengatur ekonomi dalamannya sendiri.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden MAPIM
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Joe Biden #Mohd Azmi Abdul Hamid #BRICS #Donald Trump #Kamala Harris