KOLUMNIS AWANI: Kemerosotan lobi pro-Israel
Jason Loh Seong Wei
Mac 25, 2021 11:00 MYT
Mac 25, 2021 11:00 MYT
MENURUT pemerhati Timur Tengah, pengaruh lobi pro-Israel di Barat telah merosot selama tempoh beberapa tahun lalu - di sebalik peningkatan kesedaran dan anjakan sentimen terhadap perjuangan Palestin.
Secara amnya, kemerosotan tersebut disebabkan pelanggaran dan pencabulan hak asasi manusia yang semakin memburuk dan salah laku Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang bertahun-tahun selama ini kian terbuka dalam penindasannya terhadap rakyat Palestin.
Diplomasi awam (Jalur Kedua) atau pesona (“charm”) - di mana warganegara Israel dan masyarakat sivil berusaha menampilkan imej positif dan mesra negara mereka melalui pertukaran budaya, sosial, ekonomi dan politik – terutama seperti yang dilaksanakan di bawah Benjamin Netanyahu gagal meyakinkan kerana media sosial merupakan penawar kuat terhadap propaganda pada peringkat akar umbi.
Media sosial kerap kali membawa imej yang lebih grafik dan ngeri yang kecenderungan memberi kesan mengejutkan kepada penonton awam dan pada masa yang sama menimbulkan rasa simpati yang kuat kepada rakyat Palestin yang tertindas.
Video YouTube yang, misalnya, merakamkan perlakuan kejam terhadap wanita dan kanak-kanak Palestin oleh IDF - yang bukannya jarang berlaku atau terpencil tetapi sistematik dan berterusan - secara nalurinya akan menimbulkan perasaan kemarahan dan simpati.
Selain media sosial, politik juga memainkan peranan penting dalam alihan sentimen dan kemerosotan lobi pro-Israel.
Di UK, pemilihan Jeremy Corbyn sebagai Pemimpin Parti Buruh pada tahun 2015 menandakan normalisasi atau pengarusutamaan politik pinggiran.
Sebelum ini, Corbyn ialah orang “terkecuali” dan berada di luar parti termasuk Parti Buruh Parlimen (PLP) yang merangkumi Parti Koperasi berhaluan kiri-tengah. Beliau terkenal sebagai seorang “maverick” yang selalu menentang dasar dan pendirian rasmi parti dengan melanggar “cambuk tiga baris” berkenaan isu-isu utama seperti keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) (walaupun sebagai pemimpin, beliau berkempen untuk kekal dalam EU) dan Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara), perlucutan senjata nuklear, dan tidak kurang pentingnya Israel-Palestin.
Kewujudan organisasi Labour Friends of Israel (LFI) bermaksud tiada banyak perbezaan dalam isu Palestin di antara “kiri” dan “kanan” dalam spektrum politik British sebelum itu.
Secara lazimnya, perbezaan ketara di antara kedua-dua pihak berputar pada falsafah/ideologi politik – dan bukannya dasar atau polisi.
Sebagai contoh, kedua-dua kerajaan Buruh dan Konservatif merupakan Keynesian dalam dasar ekonomi makro dan mengejar strategi pekerjaan (berkapasiti) penuh hingga tahun 1970-an. Walaupun kedua-dua pihak terpengaruh dengan revolusi Monetaris (di mana Callaghan dari Parti Buruh diyakinkan bahawa UK perlu meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa/IMF dan pengganti Thatcher dari Parti Konservatif melaksanakan penswastaan, deregulasi dan liberalisasi dengan penuh keghairahan), kedua-dua parti bertukar pandangan mengenai persoalan apa yang dikenali sekarang sebagai EU.
Parti Konservatif yang dahulunya pro-Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) kini menjadi lambang utama Brexit, sedangkan Parti Buruh yang berlatar-belakangkan anti-EEC sekarang masih mengalami kesukaran untuk menerima dengan hati terbuka keputusan Referendum Brexit pada 2016.
Mengenai isu Israel dan Palestin pula, kedua-dua parti Buruh dan Konservatif secara amnya cenderung bersimpati kepada yang pertama. Ahli Parlimen seperti Corbyn – yang merupakan ahli terkemuka dalam Kempen Solidariti Palestin – sememangnya membangkitkan isu penjajahan di Parlimen tetapi tanpa semestinya mencerminkan pendirian rasmi parti dan PLP.
Tony Blair sendiri, di bawah tekanan AS, berat sebelah terhadap perspektif pihak Israel pada satu ketika berkaitan dengan sekatan Gaza di bawah pemerintahan Hamas.
Pemilihan Corbyn sebagai Pemimpin Parti pada umumnya mencantas pertalian Parti Buruh dari lobi pro-Israel, lebih-lebih lagi ketika penyokong utamanya dalam kumpulan Momentum yang anti-Zionis (juga dari pinggiran) bertindak sebagai “pengawal praetorian” (pengawal peribadi) dan penguat kuasa dasar parti.
Terdapat faktor lain juga - seperti peningkatan polarisasi politik AS dengan kemunculan “kultus individu” Trump dari 2016 dan seterusnya - yang secara ironis atau paradoks mempercepatkan kemerosotan pengaruh lobi pro-Israel.
Jared Kushner (menantu Trump), seorang Yahudi, menjadi dalang “Kesepakatan Abad” (Deal of the Century) yang memberi restu Amerika ke atas rancangan Netanyahu untuk mengambil alih, dari segi pentadbiran, satu pertiga tanah Tebing Barat.
Dengan kata lain, peralihan dari penjajahan (sementara) ke aneksasi (tetap) yang akan menghancurkan harapan bagi satu jalan penyelesaian dua negara yang boleh dilaksanakan.
Hubungan dan kepentingan kewangannya di Israel semakin mendalam seiring dengan perananya yang berkait-hubung dengan diplomasi Timur Tengah, seperti yang didakwa New York Times dalam “Ikatan Kewangan Kushner dengan Israel Mendalam Dengan Peranan Diplomatik Tengah”, Januari 2018).
Boleh dikatakan, di bawah Trump, lobi pro-Israel di AS (Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel/Aipac) - melalui Kushner - berada pada puncaknya dan yang paling dekat yang sekali dalam "lingkaran dalam lingkaran dalaman" Presiden AS. Sebenarnya, Middle East Eye dengan tepat mengemukakan pendapat (“Kes Jared Kushner dan lobi Israel”, 4 Dis 2017) bahawa Kushner mempersonifikasikan lobi Israel di tengah-tengah pentadbiran Trump.
Ironisnya adalah bahawa lobi pro-Israel yang berindividukan Kushner telah berjaya memujuk rakan Arab AS masuk dalam sfera pengaruh pro-Zionis. Tetapi di AS, polarisasi dan perpecahan mendalam disebabkan kemenangan Trump telah melemahkan pengaruh lobi itu yang terjebak dalam permainan politik - oleh kerana secara terbuka mengalihkan sokongan kuat kepada Presiden Trump dan Parti Republikan.
Dengan kata lain, salah perhitungan strategi dan taktikal lobi pro-Israel di AS dengan meninggalkan pendekatan bipartisan secara langsung menyebabkan kemerosotannya.
Ini seiring dengan kenaikan golongan anti-Zionis (yang dibezakan dari sentimen anti-Yahudi) dalam Parti Demokrat - yang mendorong pasukan impian Biden-Harris (yang mengambil pendekatan "sederhana" dalam isu Palestin - tidak seperti Corbyn) pada landasan menuju kuasa. Dan dengan lebih banyak minoriti - yang lebih cenderung bersimpati dengan perjuangan Palestin - lebih aktif dan terlibat dalam hierarki parti, lobi pro-Israel kekurangan ruang untuk bergerak.
Singkatnya, di bawah Trump, Parti Republikan telah bergerak lebih jauh ke haluan kanan sedangkan Demokrat yang dibantu demografi politik telah menuju ke arah yang bertentangan (iaitu ke haluan kiri) dalam isu Israel dan Palestin.
Perkembangan semasa dan (yang dijangka) masa depan tidak menguntungkan lobi pro-Israel di AS.
Seperti yang dinyatakan Asa Winstanley dalam Middle East Monitor (“Lobi pro-Israel mengalami kemerosotan; mari kita bantu dalam perjalanannya”, 30 Nov 2019), pengungkapan tipu helah dan taktik kotor lobi pro-Israel untuk meletakkan rakyat Palestin dalam keadaan negatif seperti yang terkandung dalam dokumentari Al-Jazeera 2017, "The Lobby", sebagai contohnya, hanya dapat mengurangkan pengaruhnya.
Kita boleh jangkakan lobi pro-Israel, secara keseluruhan, akan mengalih perhatiannya dari Barat kembali ke Timur Tengah, Afrika, Asia dan negara-negara yang disebut “Dunia Bukan Pertama” ketika Israel sedang meningkatkan diplomasi kuasa lembutnya dalam semua bidang (ekonomi, perindustrian, sains termasuk penyelidikan dan pembangunan/R&D, perubatan termasuk vaksin, pertanian, teknikal, pelancongan, dan lain-lain).
Namun, juga dijangkakan bahawa lobi pro-Israel akan menjadi lebih terpencil dan terpinggir dari institusi pembuat dasar (eksekutif dan perundangan) kuasa besar dunia dan, pada waktunya, menjadi tidak relevan lagi. Sebagai gantian, peranannya akan diambil alih pegawai pemerintah Israel dan warganegara (diplomasi awam).
Inilah yang terjadi apabila tujuan kumpulan pelobi, pada akhirnya, adalah untuk menafikan keadilan kepada masyarakat yang ditindas.
* Jason Loh Seong Wei merupakan Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#pro-Israel
#barat
#perjuangan Palestin
#pengaruh pelobi pro-israel
#merosot
#pencabulan hak asasi manusia
#Gaza
#Tebing Barat
#media sosial
#IDF
#penindasan
#Amerika Syarikat
#UK
#EU