KOLUMNIS AWANI: Debat Pertama Trump-Biden kelam-kabut, tegang
Profesor Dr Shakila Yacob
September 30, 2020 13:48 MYT
September 30, 2020 13:48 MYT
DEBAT pertama Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini antara Presiden Trump dan calon pencabarnya yang mewakili parti Demokrat, Joe Biden, berlangsung dalam suatu suasana tegang dan kelam-kabut sebagaimana yang dijangkakan oleh kebanyakan pihak termasuk media di AS sebelum ini.
Debat ini merupakan satu debat yang bersejarah kerana ia merupakan satu debat yang kurang matang, bersifat peribadi, dan kebudak-budakan oleh dua calon Presiden yang sudahpun melewati usia tujuh puluhan yang belum pernah disaksikan dalam sejarah politik AS.
Sikap Trump sepanjang debat berlangsung adalah bagai “anjing di tepuk menjongket ekor”, bersifat agresif membuat pelbagai kenyataan yang tidak benar dengan angkuh. Trump sebagaimana biasa mengutarakan pelbagai hujah yang mengelirukan dan palsu.
ini menggambarkan kepada kita betapa besarnya cabaran yang wujud dalam satu dunia pasca-kebenaran di mana berita palsu dengan mudah diguna dan diterima pakai oleh ramai pihak.
Debat presiden ini menyentuh pebagai isu penting di AS dari pelantikan hakim dalam Mahkamah Agong, kebajikan kesihatan dan insurans kesihatan, COVID-19, ekonomi, keganasan dan isu perkauman sehingga kepada isu integriti pilihanraya.
Merujuk integriti pilihanraya, Trump dengan jelas enggan mengiktiraf keputusan pilihanraya dengan mempersoalkan integriti undi pos dan posisi Trump ini akan mewujudkan suasana kecoh selepas pilihanraya yang bakal berlangsung pada 3 November 2020.
Undi pos merupakan satu saluran selamat dalam era pandemik COVID-19 di AS yang sehingga hari ini menyaksikan kematian lebih dari 205,000 orang. Adalah dijangkakan lebih 80 juta undi akan di lakukan melalui undi pos dan pentadbiran Trump enggan meluluskan belanjawan tambahan bagi meningkatkan keberkesanan Perkhidmatan Pos AS.
Kengganan Trump mengambil pendirian yang jelas mengutuk tindakan golongan supremasi kulit putih juga membayangkan negara tersebut akan diwarnai oleh protes yang berpanjangan dalam kalangan pihak konservatif yang mendapat endorsement dari pentadbiran Trump mahu pun di pihak kiri yang memperjuangkan apa yang Trump katakan sebagai pegangan sosialis Biden.
Walaupun Biden sepanjang perdebatan cuba sebaik mungkin bersifat tenang dan berusaha mengutarakan isu yang menyentuh sanubari rakyat AS iaitu perihal politik demokrasi dan keperluan mengundi, ekonomi dan pekerjaan, keadilan sosial, persamaan hak dan toleransi kaum, beliau gagal mengemukakan dengan jelas hala tuju polisi pihak Demokrat dalam menangani isu politik dan sosio-ekonomi semasa AS sekiranya diberi peluang mentadbir.
Debat ini juga menunjukkan bagaimana berbelah baginya negara AS. Adalah jelas, sistem dua parti yang ketat di AS tidak boleh lagi berfungsi bagi sebuah negara besar seperti AS.
Kita lihat bagaimana parti Republikan dan juga Demokrat berpecah dengan pengambilalihan pihak radikal baik di pihak kanan maupun di pihak kiri. Mereka yang memilih jalan tengah tidak lagi mempunyai suara dalam kemelut politik berparti di AS hari ini.
AS mungkin secara serius harus menimbangkan satu sistem yang membenarkan beberapa parti untuk bertanding dan membentuk satu parti campuran.
Malahan ramai juga yang merasakan sistem electoral college yang sedia ada harus digantikan atau dihapuskan. Ini merupakan satu naratif kegagalan perlembagaan abad ke-18 dengan bias terhadap supremasi kulit putih dan fanatik agama.
Perjalanan debat dan intipatinya menggambarkan kepada kita betapa kuasa besar itu akan mengalami keadaan kucar kacir beberapa bulan selepas berakhirnya pilihanraya.
Trump sendiri mengakui sekiranya perlu pihak Mahkamah Agong akan menentukan keputusan pilihanraya. Satu hari yang amat menyedihkan bagi rakyat Amerika Syarikat yang terpaksa memilih antara dua calon presiden yang tidak memiliki ciri kepimpinan yang diperlukan oleh sebuah kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
* Shakila Yacob adalah pengarah eksekutif di Institusi Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan dan pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#Debat Presiden US
#Kolumnis AWANI
#Debat Presiden Amerika Syarikat
#Donald Trump
#Joe Biden
#sistem electoral college
#Perlembagaan
#supremasi kulit putih
#fanatik agama
#kesihatan
#COVID-19
#Republikan
#Demokrat
#sosialis