[KOLUMNIS] Amerika Syarikat, AIPAC dan Palestin
Dr Shakila Yacob
Disember 29, 2023 13:05 MYT
Disember 29, 2023 13:05 MYT
PERANG Israel-Palestin yang tercetus sejak 7 Oktober terus berlangsung dengan angka kematian di Gaza kini melebihi 21,000 orang. Sehingga kini tiada sebarang kemungkinan yang konflik ini akan berakhir dalam masa terdekat. Amerika Syarikat (AS) yang sejak 1970-an berusaha mencari jalan perdamaian bagi kedua-dua pihak ini, sehingga kini tidak mengambil sebarang langkah mahupun tindakan ke arah mendamaikan kedua pihak ini.
Kita sedia maklum AS merupakan sekutu dan penyokong tegar Israel sebagaimana tindakan yang diambil berkait konflik ini. AS, sejak Perang Dunia Kedua, merupakan negara penyumbang terbesar bantuan asing kepada Israel iaitu sebanyak AS$150 billion sehingga Februari 2022. Malahan, sehingga hari ini AS merupakan pembekal terbesar bantuan ketenteraan (lebih AS$124 bilion ) dan secara konsisten menyediakan bantuan ini kepada Israel. AS juga menggunakan kuasa vetonya membantah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Walaupun rata-rata pentadbiran Biden memberi kerjasama yang jitu terhadap Israel dalam konflik ini, terdapat juga ahli Kongres AS yang berani bersuara mengkritik pendirian AS dalam menangani konflik ini. Wakil dewan perwakilan dari Parti Demokrat di Michigan, Rashidah Tlaib sejak awal November menyelar Presiden Biden kerana dianggap menyokong genosida atau "pembunuhan beramai-ramai" terhadap penduduk Gaza dalam konflik Israel-Palestin ini. Beliau juga menekankan pentadbiran Biden akan kehilangan sokongan pengundi Muslim di dalam pilihanraya 2024. Namun dakwaan Rashidah ditolak oleh Rumah Putih. Atas kelantangannya mengkritik dasar luar AS yang pro-Israel, Rashidah kini menjadi sasaran pelobi pro-Israel yang paling berkuasa di AS iaitu AIPAC (American Israel Public Affairs Committee) dan juga sekutunya.
AIPAC, mula beroperasi pada tahun 1954, merupakan satu organisasi yang kuat mempengaruhi hubungan AS dengan Israel. Menurut pengkritik, AIPAC bertindak sebagai ejen kerajaan Israel yang mempunyai pengaruh besar ke atas kongres dan cabang eksekutif AS terutama berkait dasar luar AS terhadap Asia Barat. AIPAC, melalui cabang kebajikannya, American Israel Education Fund, membelanjakan berjuta dolar menaja sepenuhnya perjalanan ahli Kongres AS ke Israel setiap tahun supaya ahli Kongres AS dari parti Demokrat mahupun Republikan, merasa terikat untuk menyokong polisi yang pro-Israel.
Justeru, AIPAC sanggup menaja calon lain menentang Rashidah dalam pemilihan primary dan juga pilihan raya AS 2024. Nasser Beydoun, yang bakal bertanding kerusi Senat bagi parti Demokrat di Michigan, telah menerima tawaran sebanyak AS$20 juta dolar sekiranya beliau bertanding menentang rakan seperjuangnnya, Rashida Tlaib. Nasser mendakwa tawaran ini datang dari AIPAC. Selanjutnya, Nasser juga menyuarakan rasa kecewanya kerana ternyata calon pilihan raya di AS boleh dibeli oleh mereka yang kaya dan berpengaruh dan betapa rosaknya sistem pembiayaan politik dalam kempen pilihanraya AS. Malahan sebelum Nasser, seorang lagi bakal calon dari Michigan, Hill Harper telah menerima tawaran yang sama untuk bertanding melawan Rashidah Tlaib.
Bukan sahaja Rashidah, beberapa penyandang progresif terutamanya dari parti Demokrat juga menjadi sasaran AIPAC dan sekutunya. AIPAC memperuntukkan AS$100 juta bagi tujuan menggulingkan penyandang yang rata-rata wanita muda bukan kulit putih yang berani mengkritik polisi luar AS di Israel. Antara sasaran utama selain Rashidah Tlaib adalah Cori Bush, Ilhan Omar, Summer Lee, dan Jamaal Bowman termasuk ahli Republikan Thomas Massie kerana berani mengundi "tidak" dalam pelbagai resolusi Capitol Hill berkaitan konflik Israel-Palestin.
Walau bagaimanapun, harus di beri perhatian bahawa golongan Yahudi di AS terbahagi kepada tiga kumpulan yang berbeza. Pertama, Zionis yang berpegang kepada ideologi Zionisme iaitu suatu gerakan politik nasionalis yang bertujuan untuk menubuhkan tanah air Yahudi di Palestin. Gerakan ini menyokong idea bahawa orang Yahudi mempunyai hubungan sejarah dengan tanah itu dan berhak memperjuangkan nasib mereka sendiri (self-determination) sebagaimana yang kita lihat dipegang oleh Parti Likud pimpinan Netanyahu hari ini.
Kedua, golongan bukan Zionisme iaitu mereka yang berpegang kepada pendirian politik yang menolak penciptaan tanah air Yahudi di Palestin melalui gerakan Zionis, tetapi tidak semestinya menentang orang Yahudi atau hak untuk menentukan nasib mereka sendiri. Rata-rata golongan pertama dan kedua ini kaya dan berpengaruh serta mempunyai yayasan menaja berbagai bentuk aktiviti bagi kepentingan Israel.
Manakala, golongan ketiga, adalah mereka yang anti-Zionisme iaitu mereka yang percaya bahawa Yahudi adalah identiti agama semata-mata. Mereka menentang gerakan Zionis dan penubuhan negara Israel. Golongan ini lantang bersuara dan berdemonstrasi di merata AS membantah tindakan genosida Israel di Gaza. Namun, golongan ini secara bersendirian tidak mampu mempengaruhi pendirian AIPAC.
Banyak tulisan terkini yang mengulas tentang konflik ini mendakwa yang AS akan atau telah kehilangan kredibiliti di mata dunia, terutama negara-negara Selatan Global sebagai sebuah kuasa besar politik dan ekonomi dunia. Ini adalah kerana AS dilihat berat sebelah dalam konflik Israel-Palestin walaupun AS telah berperanan menjadi orang tengah dalam isu Palestin sejak 1970-an lagi bermula dengan Perjanjian Camp David, yang ditandatangani oleh Presiden Jimmy Carter, Presiden Mesir Anwar Sadat, dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin pada September 1978. Perjanjian ini tidak berjaya membebaskan Palestin, begitu juga usaha seterusnya oleh pentadbiran Clinton dan Obama. Ini membayangkan kepada kiata betapa kompleksnya isu Israel dan Palestin serta politik Asia Barat amnya. Semasa pentadbiran Trump dan Biden, AIPAC terus membina kekuatan dan pengaruh mereka dalam dasar luar AS. Pengajaran dari pengalaman lalu, malangnya tidak digunakan oleh pentadbiran Biden bagi menyelesaikan konflik ini.
* Prof Dr Shakila Yacob adalah profesor di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia, Sunway University.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.