Kolej AS potong jurusan, kurangkan program selepas bertahun tangguhkan - Laporan
Bernama
Ogos 13, 2024 14:34 MYT
Ogos 13, 2024 14:34 MYT
NEW YORK: Dengan wang bantuan COVID-19 persekutuan telah habis, kos operasi meningkat dan semakin kurang pelajar sekolah menengah memohon melanjutkan pendidikan tinggi, Amerika Syarikat (AS) menyaksikan gelombang pemotongan program dalam beberapa bulan kebelakangan ini di kolej-kolej yang cuba menyeimbangkan kewangan, lapor Xinhua yang memetik laporan The Associated Press pada Ahad.
"Pemotongan ini bukan sahaja membawa kepada penjimatan atau kehilangan pekerjaan, tetapi juga mencetuskan kekacauan bagi pelajar yang memilih kampus tertentu kerana program ijazah tertentu dan kemudian membuat bayaran atau memohon pinjaman pelajar," menurut laporan itu.
Selama bertahun-tahun, banyak kolej menangguhkan pemotongan ini, kata Larry Lee, yang pernah menjadi pemangku presiden di St Cloud State tetapi melepaskan jawatan itu bulan lepas untuk mengetuai Blackburn College di Illinois.
Pendaftaran kolej menurun semasa pandemik, tetapi pegawai berharap angka itu akan pulih ke tahap sebelum COVID-19 dan telah menggunakan wang bantuan persekutuan untuk menyokong bajet mereka buat sementara waktu, katanya.
"Mereka bertahan, bertahan," kata Lee, sambil menegaskan bahawa kolej kini perlu menghadapi realiti baharu.
Pendidikan tinggi pulih sedikit pada musim luruh tahun lepas dan semester musim bunga, terutamanya apabila pendaftaran kolej komuniti mula meningkat, menurut data National Student Clearinghouse Research Centre.
Trend bagi kolej empat tahun kekal membimbangkan. Walaupun tanpa kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kos kolej dan beban hutang pelajar jangka panjang, bilangan golongan muda yang layak semakin berkurangan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA