Kod Tatalaku di Laut China Selatan perlu segera dimuktamadkan - Bekas Menteri Luar Indonesia

Bernama
Mac 29, 2024 07:00 MYT
Kejadian yang melibatkan Filipina dan China, baru-baru ini serius dan bukan perkembangan positif. - Foto X/@coastguardph
BOAO: Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan perlu dimuktamadkan secepat mungkin bagi mengelakkan peningkatan konflik berhubung tuntutan maritim di kawasan itu, kata seorang diplomat.
Bekas Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa berkata COC telah dirundingkan selama beberapa tahun dan keperluan untuknya (COC) lebih dirasai berbanding sebelum ini.
"...Kerana kita melihat semasa rundingan sedang berlangsung, keadaan di daratan atau di perairan, untuk berbicara, tidak semakin baik.
"Kita melihat potensi sebenar untuk insiden kecil menjadi konflik yang lebih besar disebabkan salah perhitungan," katanya kepada Bernama di luar Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2024 pada Khamis.
Marty berkata kepentingan ASEAN menyatukan dan mempergiatkan usaha untuk mencapai COC yang dikehendaki, atau sebaliknya, keadaan di lapangan boleh mengatasi proses rundingan itu sendiri.
Merujuk kepada insiden baru-baru ini yang melibatkan Filipina dan China, beliau berkata kejadian itu serius dan bukan perkembangan positif.
"Ia menekankan perlunya pemimpin yang bijak menangani keadaan supaya tindakan kawalan diri dapat diperlihatkan. Pada dasarnya untuk meletakkan diplomasi di barisan hadapan," tambahnya.
Baru-baru ini, China telah memberi amaran kepada Filipina untuk berhati-hati dan mengadakan dialog, menyatakan hubungan mereka berada di "persimpangan" kerana konfrontasi antara pengawal pantai mereka berhubung tuntutan maritim yang meningkatkan ketegangan.
CoC dijangka menjadi kod tatalaku yang mencerminkan norma, prinsip dan peraturan antarabangsa yang selaras dengan undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) untuk menjadikan Laut China Selatan yang stabil, selamat dan aman.
-- BERNAMA
#Laut China Selatan #Kod Tatalaku #Indonesia #Malaysia
;