Kod sumber Twitter bocor, dikongsi dalam talian selama beberapa bulan

Bernama
Mac 27, 2023 15:50 MYT
Sumber memberitahu akhbar itu bahawa individu yang bertanggungjawab terhadap kebocoran kod itu telah meninggalkan Twitter tahun lepas. -Gambar hiasan
WASHINGTON: Sebahagian kod sumber Twitter dikongsi dalam talian secara terbuka selama beberapa bulan, Sputnik memetik laporan The New York Times.
GitHub, sebuah platform dalam talian untuk pembangun perisian di mana kod itu disiarkan, menurunkan kod itu pada Jumaat atas permintaan Twitter.
Sumber memberitahu akhbar itu bahawa individu yang bertanggungjawab terhadap kebocoran kod itu telah meninggalkan Twitter tahun lepas.
Twitter meminta Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Utara California memerintahkan GitHub mengenal pasti individu yang berkongsi kod itu, serta mereka yang telah memuat turunnya.
Menurut The New York Times, kod sumber, iaitu kod asas komputer yang digunakan Twitter mengandungi maklumat yang mendedahkan kelemahan keselamatan tertentu hingga membolehkan penggodam menyerang, mengekstrak data pengguna, atau menutup laman berkenaan.
-- BERNAMA
#Twitter #GitHub #kod sumber #dikongsi dalam talian secara terbuka
;