Kobe Bryant maut dalam nahas helikopter
Astro Awani
Januari 26, 2020 04:31 MYT
Januari 26, 2020 04:31 MYT
Legenda bola keranjang Amerika Syarikat, Kobe Bryant, 41, maut dalam nahas helikopter di California.
Helikopter persendirian yang dinaiki Bryant dilaporkan terbakar dan terhempas di bandar Calabasas, lapor media tempatan.
Menurut Jabatan Sherif Los Angeles, nahas turut mengorbankan lapan penumpang lain.
Nama mangsa lain bagaimanapun belum didedahkan, namun dipercayai nahas turut mengorbankan anak Bryant, Gianna Maria Onore, 13, yang dikenali sebagai GiGi, lapor TMZ.
Terdahulu, media melaporkan lima termasuk Bryant terkorban dalam nahas itu. Namun pemeriksaan pada senarai penumpang menunjukkan sembilan individu berada di dalam pesawat malang itu ketika kejadian.
Berita sedih kematian bintang bola keranjang AS itu turut mendapat perhatian bekas presiden Barack Obama dan isterinya Michelle.
Juara NBA lima kali itu beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun dan bersara pada April 2016.
Pencapaian terbaik Bryant dalam arena sukan adalah apabila diangkat sebagai pemain NBA paling berharga (MVP) pada 2008.
Bryant pernah merangkul Oscar untuk filem animasi pendek 'Dear Basketball' pada 2018.