Koala mungkin akan pupus di Australia
Astro Awani
Februari 11, 2022 11:12 MYT
Februari 11, 2022 11:12 MYT
SYDNEY: Beruang koala telah diisytihar sebagai spesies terancam pada Jumaat.
Kerajaan Australia membuat pengumuman itu selepas habitat haiwan marsupial berkenaan musnah akibat musim kemarau berpanjangan, kebakaran hutan serta penebangan pokok oleh pemaju.
Para saintis dan ahli akademik berulang kali mengeluarkan amaran mamalia ikonik Australia itu mungkin akan pupus jika kerajaan tidak bertindak dengan segera melindungi habitat haiwan tersebut.
"Penyenaraian ini mengetengahkan cabaran yang dihadapi spesies ini.
"Bersama kita boleh memastikan masa depan yang sihat untuk beruang koala ini dan keputusan tersebut akan memainkan peranan penting dalam proses itu," kata Menteri Alam Sekitar Australia, Sussan Ley dalam satu kenyataan.
Ley berkata, beruang koala di New South Wales, Queensland dan Australian Capital Territory akan diisytihar sebagai spesies terancam daripada status spesies dilindungi sebelum ini.
Australia telah hilang kira-kira 30 peratus daripada populasi koala dalam tempoh tiga tahun lepas, kata Yayasan Koala Australia.
Jumlah populasi koala kini dalam lingkungan 58,000 daripada lebih 80,000 yang dilaporkan pada 2018.
Jelas yayasan itu, New South Wales menyaksikan pengurangan jumlah populasi koala paling teruk, iaitu kira-kira 41 peratus.
Kajian oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) mendapati lebih 60,000 beruang koala maut atau cedera akibat kebakaran hutan dalam tempoh akhir tahun 2019 sehingga awal tahun 2020.
Kebakaran tersebut turut memusnahkan kawasan seluas lebih 17 juta hektar, hampir separuh daripada luas kawasan Jerman.
Kebanyakan beruang koala ditemui di hutan Eucalyptus yang terletak di kawasan timur dan persisir pantai Australia.