KKM tingkatkan saringan koronavirus baharu di KLIA - Boon Chye

Fareez Azman
Januari 21, 2020 19:30 MYT
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menunjukkan sistem saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Gambar: Bernama
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan pemantauan di pintu negara susulan penyakit koronavirus baharu (New Corona Virus - NCOV) yang kini merebak di Wuhan dan beberapa wilayah di China.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye, saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara yang diberi perhatian.
"Saya datang ke KLIA pada hari ini bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan Timbalan Pengarah Kesihatan KLIA bagi melihat bagaimana persiapan sistem saringan kita susulan penyebaran NCOV di Wuhan, China," kata Boon Chye.
Ujarnya, langkah berjaga-jaga akan diteruskan susulan penyakit NCOV itu mudah merebak dari manusia ke manusia.
Malah penyakit yang baru ditemui itu bukan hanya merebak di Wuhan, sebaliknya beberapa negara," jelas Timbalan Menteri Kesihatan itu.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di kawasan saringan KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Sehingga kini, enam kematian dicatatkan di Wuhan, China setakat ini selepas dijangkiti VCOV, manakala 300 mangsa kini menerima rawatan.
#China #Kementerian Kesihatan #KKM #KLIA #Kuala Lumpur #merebak #nCoV #New Corona Virus #penyakit #saringan
;