Kishida umum tarik diri daripada bertanding, anggap "langkah pertama untuk berubah"

Bernama
Ogos 14, 2024 13:31 MYT
Kishida menjadi perhatian dalam parti kerana cara beliau menangani skandal pengumpulan dana politik yang melibatkan beberapa faksi dalam parti itu. - Foto Reuters
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengumumkan pada Rabu bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) bulan depan dan berjanji untuk bertanggungjawab terhadap skandal pengumpulan dana politik.
"Sebagai langkah pertama untuk meyakinkan orang ramai bahawa LDP telah berubah, saya memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan presiden," lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik kenyataan Kishida dalam sidang akhbar di pejabat perdana menteri.
Ahli-ahli parlimen LDP "perlu bekerjasama di bawah kepimpinan baharu" untuk memulihkan kepercayaan awam terhadap politik dan menangani pelbagai cabaran seperti melaksanakan langkah-langkah bagi mengekang kadar kelahiran yang semakin menurun dalam masyarakat yang semakin tua dan memperkukuh keupayaan pertahanan, tambahnya.
Kishida, yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G7 2023 di Hiroshima, menyaksikan penarafan kelulusan Kabinetnya merosot kepada sekitar 20 peratus sejak skandal itu tercetus lewat tahun lepas.
Kishida berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli LDP biasa, enggan mengulas mengenai siapa yang paling layak menjadi ketua parti dan perdana menteri yang baharu.
Setakat ini, bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba yang popular dalam kalangan orang ramai, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan presiden LDP. Ishiba sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung LDP, jawatan kedua tertinggi dalam parti itu.
Menteri Digital Taro Kono, seorang penggubal undang-undang yang berpandangan reformis dan celik media sosial, telah memaklumkan kepada Naib Presiden LDP Taro Aso tentang hasratnya untuk bertanding, menurut satu sumber.
Setiausaha Agung LDP Toshimitsu Motegi, Menteri Keselamatan Ekonomi Sanae Takaichi, bekas Menteri Alam Sekitar Shinjiro Koizumi dan bekas Menteri Keselamatan Ekonomi Takayuki Kobayashi juga antara mereka yang mungkin menyertai pemilihan itu.
-- BERNAMA
#Fumio Kishida #tidak akan bertanding #pemilihan presiden #Parti Liberal Demokratik Jepun #LDP
;