Kisah jururawat paling sadis, lebih 100 pesakit maut di tangannya

Astro Awani
Januari 24, 2018 14:45 MYT
Niels Hoegel yang didakwa membunuh lebih 100 pesakitnya dianggap antara pembunuh bersiri paling kejam dalam sejarah Jerman. - Gambar Twitter @ChuckRoss33
Ini bukan filem fiksyen tapi kisah nyata yang berlaku di Jerman. Seorang jururawat berdepan 97 lagi dakwaan bunuh sekaligus menjadikannya sebagai antara pembunuh bersiri paling kejam di negara itu.
Niels Hoegel dituduh membunuh 62 pesakit di sebuah klinik di Delmenhorst ketika dia berkhidmat di sana dari 1999 hingga 2002.
35 orang lagi mangsa dibunuh di sebuah klinik dekat Oldenburg antara tahun 2003 hingga 2005.
Ini bukan dakwaan pertama melibatkan Niels Hoegel. Dia ketika ini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana didapati bersalah dalam enam tuduhan bunuh dan cubaan bunuh.
Hoegel, 41 didakwa menyuntik pelbagai jenis dadah kepada pesakit sehingga membawa maut.
Kesimpulan dibuat berdasarkan ujian toksikologi terhadap 134 mayat bekas pesakitnya yang digali semula untuk mengenal pasti punca kematian.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Hogel mengaku menyuntik pesakit, dengan harapan akan dianggap wira jika berjaya menyelamatkan pesakit itu.
Pihak pendakwa raya dalam hujahnya menegaskan Hoegel sepatutnya sedar dadah berkenaan boleh menyebabkan kegagalan jantung atau masalah peredaran darah.
Hoegel juga didakwa gagal menyelamatkan mangsa yang mula mengalami kesakitan akibat kesan dadah itu.
Pihak polis percaya jumlah sebenar mangsa jururawat pembunuh ini sebenarnya lebih ramai dan tidak menolak kemungkinan ada mayat mangsa yang telah dilupuskan.
#bunuh #Dadah #Jerman #jururawat #mangsa #maut #mayat #Niels Hoegel #penjara #polis
;