Kisah cinta mekar dari tandas, cetus 'keinsafan' PM India
Sharifah Nabilah Akram
September 5, 2017 12:22 MYT
September 5, 2017 12:22 MYT
Isu kekurangan tandas di India bukanlah sesuatu yang baru, malah keadaan itu telah menimbulkan pelbagai konflik sosial dan rumahtangga.
Akibat daripada itu, tabiat membuang air di kawasan umum telah menjadi budaya rakyat India kerana kebanyakan mereka menganggap meletakkan tandas di dalam rumah adalah kotor.
Tiada yang berani tampil untuk membetulkan pemikiran yang salah itu, sehinggalah tular kisah seorang wanita yang meninggalkan suaminya kerana tidak menyediakan tandas di rumah.
Anita Narre yang berasal dari India Tengah terpaksa berkahwin dengan seorang buruh ladang atas perancangan keluarga. Apabila Anita masuk ke rumah suaminya Shivram dan mendapati rumah itu tidak mempunyai tandas, dia mengadukan hal itu namun tidak dipedulikan.
Selepas dua hari, dia bertekad untuk meninggalkan rumah suaminya dan menetap dengan ibunya. Dia memberitahu Shivram dia tidak akan pulang selagi suaminya tidak menyediakan tandas di rumah mereka. Shivram akhirnya menuruti permintaan isterinya itu.
Tindakannya itu mendapat perhatian ramai pihak dan dia dihadiahkan sejumlah wang oleh Sulabh International untuk keberanian menuntut haknya.
Berikutan kisahnya itu juga, sebuah filem berjudul Toilet: A Love Story diterbitkan untuk mengetengahkan kepentingan kebersihan awam dan keperluan tandas yang kritikal di India. Anita Narre dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Revolusi Tandas di India.
Akshay Kumar, 49, yang merupakan salah seorang pelakon Bollywood paling laris dan juga duta selebriti untuk kempen kerajaan 'Clean India' berkata beliau memilih untuk memegang watak utama dalam filem Toilet kerana ia mengetengahkan masalah yang dihadapi orang ramai, terutamanya wanita.
Berikutan penerbitan filem tersebut, Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah berjanji untuk membina 100 juta tandas baharu untuk keperluan umum, lapor New York Times.
Pegawai kerajaan mengatakan mereka telah menghabiskan $4 bilion untuk membantu memasang 50 juta tandas setakat ini, termasuklah membina tandas komuniti dan memberikan subsidi kepada orang ramai untuk membina tandas di rumah mereka.
Usaha yang dilakukan kerajaan India itu mendapat pujian dari luar negara. Bill Gates, pengasas jutawan Microsoft menulis di blognya: “Belum pernah ada pemimpin yang berani membincangkan topik sensitif dengan begitu terang dan terbuka. Lebih baik lagi, Modi menyokong kata-katanya dengan tindakan. "