Kira-kira 4 peratus penduduk Gaza maut, hilang, cedera - Pemantau kemanusiaan

Bernama
Januari 6, 2024 08:50 MYT
Beratus-ratus mayat dilaporkan masih berada di jalan raya, terutamanya di kawasan tentera Israel melakukan pencerobohan darat. - Gambar fail/AP
LONDON: Lebih 90,000 orang iaitu kira-kira empat peratus daripada penduduk di Gaza maut, cedera atau hilang, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med pada Jumaat.
Agensi kemanusiaan yang berpangkalan di Geneva itu menjelaskan bahawa serangan udara, darat dan laut Israel telah memusnahkan kira-kira 70 peratus infrastruktur awam di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt.
Agensi itu mendakwa Israel menjadikan Semenanjung Gaza sebagai kawasan tidak boleh didiami, lapor Agensi Anadolu.
"Israel mendorong pengusiran ratusan ribu orang awam secara paksa," menurut kenyataan Euro-Med.
Beratus-ratus mayat masih berada di jalan raya, terutamanya di kawasan tentera Israel melakukan pencerobohan darat.
Serangan Israel adalah "percubaan jelas" untuk meluaskan wilayahnya merangkumi seluruh Semenanjung Gaza dengan melanggar undang-undang antarabangsa, "merangkumi kemungkinan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan pembunuhan beramai-ramai".
Merujuk kepada laporan bahawa Israel melarang bekalan kemanusiaan daripada memasuki Semenanjung Gaza dengan lebih kerap, Euro-Med mendakwa Israel menggunakan "kebuluran sebagai senjata".
Ia mengulangi tuntutan agar pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat "pelanggaran yang telah didokumenkan secara meluas sejak Israel memulakan pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza."
Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt, membunuh sekurang-kurangnya 22,600 rakyat Palestin manakala 57,910 yang lain cedera.
-- BERNAMA
#penduduk Gaza maut #pemantau hak asasi manusia #Euro-Med #perang Palestin Israel