Kira-kira 2,000 bangkai penguin terdampar di pesisiran pantai Uruguay

Agensi
Julai 22, 2023 18:08 MYT
Pihak berkuasa memberitahu, punca kematian haiwan itu bukan disebabkan selesema burung, namun sesuatu sebab lain yang belum dikenal pasti. - Gambar hiasan/Unsplash
MONTEVIDEO: Kira-kira 2,000 penguin ditemui mati di pesisiran pantai di timur Uruguay dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini, lapor AFP.
Pihak berkuasa memberitahu, punca kematian haiwan itu bukan disebabkan selesema burung, namun sesuatu sebab lain yang belum dikenal pasti.
Penguin Magellanic, yang kebanyakannya masih dalam usia muda, mati di Laut Atlantik dan dibawa arus ke pantai Uruguay, jelas ketua jabatan hidupan liar Kementerian Alam Sekitar, Carmen Leizagoyen.
"Kematian ini sewaktu di lautan. 90 peratus merupakan anak penguin yang tidak memiliki cukup simpanan lemak, selain perut yang kosong," ujarnya, sambil menekankan bahawa sampel telah diambil untuk mengesahkan ia bukan disebabkan selesema burung.
Penguin Magellanic bersarang di selatan Argentina. Semasa musim sejuk di hemisfera selatan, haiwan itu bermigrasi ke utara dalam pencarian makanan dan perairan yang lebih hangat, malah hingga ke Espirito Santo di Brazil.
"Adalah normal jika ada peratusan tertentu mati dalam proses (migrasi) itu, tapi bukan dalam jumlah yang besar sebegini," tambah Leizagoyen.
Pemerhati alam sekitar memberitahu, peningkatan kes kematian sebegitu berpunca daripada aktiviti penangkapan ikan haram dan berlebihan.
“Sejak tahun 1990-an dan 2000 ke atas, kita mula menyaksikan banyak hidupan liar yang tidak mempunyai makanan yang cukup. Sumber makanan sudah dieksploitasi secara melampau," jelas Richard Tesore dari SOS Marine Wildlife Rescue.
Selain itu, siklon sub-tropika di Atlantik, yang membadai tenggara Brazil pada pertengahan Julai, mungkin juga menyebabkan penguin yang lemah akhirnya mati.
Tesore menambah, selain penguin, terdapat juga kes kematian lain melibatkan spesies haiwan seperti burung laut petrel, albatros, camar, penyu dan singa laut.
#penguin #bangkai terdampar #Uruguay #hidupanliar
;