Kini adalah masa untuk Korea Utara siap hadapi perang - Kim Jong-un

Agensi
April 11, 2024 08:20 MYT
Kim Jong-un mengadakan lawatan dan meninjau universiti tentera utama Korea Utara pada Rabu. - Gambar REUTERS
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menegaskan, keadaan geopolitik tidak stabil yang dihadapi negaranya bagaikan memberi petanda, kini adalah masa untuk negaranya lebih bersedia menghadapi peperangan berbanding sebelum ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Jong-un semasa beliau mengadakan lawatan dan meninjau universiti tentera utama negara itu, lapor agensi berita KCNA semalam.
Dalam lawatannya pada Rabu, Jong-un turut memberi bimbingan lapangan di Universiti Ketenteraan dan Politik Kim Jong-il, dinamakan sempena bapanya yang meninggal dunia pada 2011 dan menurut KCNA, adalah 'kerusi pendidikan ketenteraan tertinggi' negara itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Utara meningkatkan pembangunan senjata di bawah pimpinan Jong-un dan menjalin hubungan ketenteraan serta politik yang lebih erat dengan Russia.
Pyongyang juga telah didakwa membantu Moscow dalam peperangannya dengan Ukraine dengan membekalkan senjata dan peluru, sebagai balasan untuk untuk bantuan projek ketenteraan strategik.
Pada masa sama, Jong-un menegaskan, jika musuh memilih konfrontasi ketenteraan dengan Korea Utara, maka negaranya sedia berperang habis-habisan terhadap musuh dengan mengerahkan segala kekuatan yang ada padanya.
"Melihat kepada perkembangan antarabangsa yang rumit selain keadaan ketenteraan dan politik yang tidak menentu lagi tidak stabil di sekitar Korea Utara, Jong-un berpendapat sekarang adalah masa untuk lebih bersedia bagi peperangan berbanding sebelum ini," kata KCNA.
Kenyataan itu dipetik KCNA ketika Jong-un menyampaikan taklimat kepada kakitangan dan pelajar universiti terbabit.
Awal bulan ini, Jong-un menyelia pelancaran ujian peluru berpandu balistik jarak sederhana hipersonik baharu menggunakan bahan api pepejal.
Menurut penganalisis, ia akan meningkatkan keupayaan Korea Utara untuk menggunakan peluru berpandu dengan lebih berkesan berbanding varian menggunakan bahan api cecair.
Korea Utara menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan mencetuskan ketegangan ketenteraan dengan melakukan apa yang dipanggil 'gerakan perang' kerana menjalankan latihan ketenteraan dengan kekerapan dan skala lebih besar dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - REUTERS
#Korea Utara #perang #Kim Jong-un #geopolitik tidak stabil
;