Kim, Putin adakan sidang kemuncak di Rusia meski kebimbangan terhadap perjanjian senjata
Bernama
September 13, 2023 10:30 MYT
September 13, 2023 10:30 MYT
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Rusia, Vladimir Putin akan mengadakan sidang kemuncak yang jarang berlaku di Rusia, dengan kedua-dua pemimpin itu dijangka memajukan rundingan senjata dan meningkatkan kerjasama ketenteraan, lapor agensi berita Yonhap.
Penganalisis meramalkan bahawa Korea Utara mungkin bersetuju membekalkan Rusia peluru dan senjata untuk operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.
Sebagai balasan, Moscow mungkin bersetuju mengenai pemindahan teknologi berkaitan senjata ke Pyongyang, seperti melibatkan satelit pengintip dan kapal selam berkuasa nuklear.
Jika Kim dan Putin bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan mereka, termasuk latihan tentera laut tiga hala dengan China, ia akan menimbulkan cabaran keselamatan utama di Semenanjung Korea dan seterusnya.
Kim berkata, pertemuan dengan Putin adalah "manifestasi jelas" Korea Utara yang mengutamakan "kepentingan strategik" hubungan dua hala mereka, lapor Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) pada Rabu.
KCNA mengesahkan bahawa kereta api Kim tiba di Khasan pada 6 pagi pada Selasa, di mana Kim disambut oleh pegawai kanan Rusia, termasuk Menteri Sumber Asli Rusia, Alexander Kozlov.
Masih tidak diketahui dengan tepat bila dan di mana Kim dan Putin akan mengadakan pertemuan, walaupun beberapa laporan media asing mengatakan sidang kemuncak itu mungkin akan berlangsung Rabu di pusat angkasa Vostochny Cosmodrome Rusia di wilayah Amur. - BERNAMA