Kim Jong Un tinggalkan bumi Korea Utara buat pertama kali dalam sejarah sejak memerintah

Agensi
Mac 27, 2018 11:11 MYT
Kim Jong Un dilapor tiba di Beijing dengan kereta api. - AP Photo/Ng Han Guan
Buat pertama kalinya dalam sejarah Presiden Korea Utara Kim Jong Un dilaporkan keluar dari bumi republik itu, pertama kali selepas memegang tampuk pemerintahannya sejak 2011.
Media Jepun mendakwa pemimpin kontroversi dengan isu peluru berpandu itu tiba di Beijing bagi mengadakan kunjungannya di negara tembok besar itu semalam menggunakan kereta api.
Bagaimanapun tiada sumber sahih yang dapat mengesahkan individu yang tiba dengan keretapi trersebut adalah Jong Un dan visual yang tersebar tidak kelihatan kelibat beliau.
Menerusi video tersebut kelihatan pasukan pengiring orang kenamaan mengiringi individu daripada stesen keretapi dan melalui jalan raya berdekatan.
Bloomberg bagaimanapun memetik tiga sumber yang tidak dikenali melaporkan bahawa Kim berada di Beijing dalam rangka lawatannya sebelum mengadakan pertemuan dengan seteru terdekatnya Korea Selatan sepertimana yang pernah dinyatakan ketika berlangsungnya Sukan Olimpik musim sejuk yang lalu.
Malah pihak Rumah Presiden di Seoul juga dikatakan sedang memerhati dengan dekat pertemuan antara Korea Utara dan China sambil membuat persiapan bagi perjumpaan dengan Kim Jong Un sejurus selepas itu.
Malah kehadiran Kim di China dianggap sebagai tanda positif dalam memperbaiki hubungan diplomatik antara Korea Utara dengan negara lain.
Beijing adalah sekutu utama Korea Utara yang tersembunyi dan terpencil, serta rakan dagangannya yang terbesar.
Jika mengikut perancangan awal,Kim akan mengadakan pertemuan berasingan dengan Korea Selatan pada akhir April dan Amerika Syarikat pada bulan Mei, termasuk pertemuan dengan Trump.
#Amerika Syarikat #API #Beijing #China #Democratic People's Republic of Korea #Diplomatic #Jepun #kereta #Kim Jong Un #Korea #Korea Selatan #Korea Utara #Media #Olimpik #presiden #rumah #sukan #UN #video #Workers' Party of Korea
;