Kim Jong-un hidup, sihat, tidak jalani sebarang pembedahan, dakwa Pegawai Korea Selatan
Afiq Ariffin
Mei 4, 2020 15:09 MYT
Mei 4, 2020 15:09 MYT
SEORANG pegawai Korea Selatan menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un tidak menjalani sebarang pembedahan sepanjang tempoh dia ‘menghilangkan diri’ dari khalayak umum.
Kenyataan itu dibuat selepas kedua-dua negara berbalas tembakan di Zon Bebas Tentera, iaitu sempadan yang memisahkan kedua-dua belah negara.
Jelas Pegawai Pemerintah yang enggan dinamakan itu, dakwaan mengenai Jong-un baharu sahaja selesai menjalani pembedahan adalah tidak benar dan ia boleh dilihat menerusi pergerakan kakinya.
“Berdasarkan pemerhatian kami, Jong-un tidak menjalani sebarang pembedahan,” kata pegawai itu.
Ketika wartawan bertanya mengenai pemimpin itu ada menjalani rawatan kesihatan lain, pegawai itu juga menyatakan bahawa Jong-un tidak menjalani apa-apa rawatan kesihatan.
Terdahulu, status kesihatan pemimpin Korea menjadi ‘buah mulut’ seluruh dunia dengan pelbagai dakwaan yang menyatakan pemimpin itu sedang sakit dan sedang menjalani pembedahan kardiovaskular setelah tidak memunculkan diri sejak April lalu.
Namun pada Sabtu lepas, media Korea Utara melaporkan bahawa Kim dilihat sihat dan sedang melawat serta merasmikan sebuah kilang baja di republik itu.
Bukan Jong-un tapi 'body double'
Biarpun begitu, timbul pula dakwaan bahawa rakaman visual sewaktu Jong-un sedang melawat kilang baja tersebut dilihat agak ‘janggal’ dan ‘kaku’.
Malah, ada yang menyatakan bahawa kesahihan visual dan gambar pemimpin itu diragui dan tidak boleh dipastikan.
Oleh itu, timbul pula dakwaan bahawa visual tersebut tidak memaparkan diri Jong-un yang sebenar dan mungkin ‘dilakonkan’ oleh pihak lain untuk membuktikan bahawa pemimpin itu sihat, dalam penampilan terbaharunya itu.
Timbul rasa curiga
Episod di kilang baja itu telah menimbulkan kecurigaan dalam kalangan netizen.
Ada antara pengguna Twitter yang mula meneliti dan membandingkan visual terbaharu itu dengan penampilan yang terdahulu.
Perkara yang menjadi persoalan ialah raut wajah, ekspresi muka dan senyuman pemimpin tersebut.
Ia sekali gus menimbulkan semula dakwaan bahawa pemimpin itu sememangnya sedang sakit.
#dakwaan
#Democratic People's Republic of Korea
#kesihatan
#Kim Jong Un
#Korea Selatan
#Korea Utara
#Media
#rakaman
#spekulasi
#visual