Kim Jong Un dilapor koma, adiknya Kim Yo Jong ambil alih pemerintahan
Agensi
Ogos 23, 2020 05:52 MYT
Ogos 23, 2020 05:52 MYT
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dipercayai berada dalam keadaan koma.
The New York Post yang memetik dakwaan seorang bekas pegawai Korea Selatan berkata ia susulan langkah dibuat pemimpin itu yang menyerahkan sebahagian kuasa pemerintahan kepada adik perempuannya Kim Yo Jong beberapa hari lalu.
Chang Song-Min, bekas pembantu Presiden Korea Selatan, Kim Dae Jung mendakwa Jong Un sakit teruk selepas spekulasi mengenai penampilannya yang kurang memuaskan sejak awal tahun lalu.
"Saya merasakan dia (Jong Un) berada dalam keadaan koma, tetapi dia masih lagi hidup," katanya kepada media Korea Selatan.
Song-Min menambah Yo Jong bersedia untuk membantu memimpin negara.
"Struktur penggantian yang lengkap belum terbentuk, jadi Yo Jong dibawa ke depan kerana kekosongan tidak dapat dipertahankan untuk jangka waktu yang lama," katanya.
Desas-desus mengenai kesihatan Jong Un terus diperkatakan apabila beliau hanya dilihat beberapa kali sahaja dalam tahun ini selepas dikaitkan dengan pembedahan jantungnya pada April lalu.
Perkara itu menguatkan dakwaan apabila beliau tidak menghadiri sambutan ulang tahun datuknya Kim II Sung yang juga presiden dan pengasas Korea Utara pada 15 April lalu.
Tarikh berkenaan antara detik terpenting dalam kalendar politik negara.
Untuk rekod, Jong Un tidak muncul di khalayak ramai sejak mempengerusikan mesyuarat bersama Parti Politburo 11 April lalu.
Namun, 'kehadirannya' tidak lama selepas itu diragui dan dipercayai diganti dengan seseorang yang seiras dengan pemimpin itu.
#kesihatan
#Kim Dae-Jung
#Kim Jong-un
#Kim Yo Jong
#Korea
#Korea Selatan
#Korea Utara
#Korea Utara Kim Jong-un
#Media
#politik
#presiden