Kim Jong-Un dihadiahkan jaket kalis peluru, dron ketika meninggalkan Rusia
Astro Awani
September 17, 2023 07:45 MYT
September 17, 2023 07:45 MYT
KIM JONG-UN menerima hadiah jaket kalis peluru dan dron sebagai hadiah perpisahan ketika pemimpin Korea Utara itu mengakhiri lawatannya ke Rusia, iaitu pertemuan yang telah mencetuskan kebimbangan di Barat.
Perpisahan yang menandakan berakhirnya kunjungan selama enam hari yang menyaksikan beliau melakukan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, memberi bayangan kemungkinan Korea Utara memberikan senjata kepada Rusia untuk membantu pencerobohan ke atas Ukraine.
Portal berita CNN pada Ahad melaporkan, Jong-Un yang sangat jarang mengadakan kunjungan ke luar negara diberi sambutan yang mewah dengan sebahagian besar lawatannya difokuskan pada melawat tapak-tapak ketenteraan.
Korea Utara berhadapan sekatan yang ketat dan memerlukan bantuan dari pelbagai aspek, termasuk tenaga, makanan dan teknologi ketenteraan.
Semasa meninggalkan Rusia, Gabenor Wilayah Timur Rusia, Primorye menghadiahkan Kim sehelai jaket keselamatan kalis peluru dan set dron seperti dilaporkan agensi berita Rusia, TASS.
"Ini adalah jaket kalis peluru dengan zon perlindungan untuk dada, bahu, leher dan pangkal paha… ia jauh lebih ringan daripada jaket kalis peluru analog yang diketahui," lapor agensi berita negara itu.
Jong-Un juga diberikan lima dron kamikaze yang dihasilkan di wilayah yang sama, serta dron pengintaian jenis pesawat Geranium-25, menurut TASS.
Sepasang set pakaian khas yang tidak dapat dikesan oleh kamera imej termal juga diberikan sebagai hadiah tambahan.
Sebaik upacara perpisahan termasuk hamparan karpet merah dan pemeriksaan kawalan kehormatan berakhir, Kim dilihat menaiki keretanya yang dilengkap lapisan perlindungan berlepas dari stesen kereta api Artyom sementara pegawai Rusia melambai seperti yang terlihat dalam video yang diterbitkan oleh agensi berita Rusia, RIA Novosti.
Kenderaan hang membawa Jong-Un melakukan perjalanan lebih dari 200 kilometer (124 batu) dari Artyom ke bandar sempadan Khasan, menurut RIA.
KOREA UTARA KAGUM TEKNOLOGI ANGKASA LEPAS RUSIA
Jong-Un dan Putin bertemu di Timur Rusia pada Rabu lalu dan mengadakan perbincangan selama lima jam di tapak pelancaran teknologi angkasa lepas, Vostochny Cosmodrom.
Putin memaklumkan, Jong-Un menunjukkan "minat yang mengagumkan" - Korea Utara telah menjadikan teknologi angkasa sebagai keutamaan.
Jong-Un juga dalam masa sama, menawarkan sokongannya kepada Putin selepas perbincangan dengan berikrar: "Saya akan sentiasa bersama dengan Rusia."
Putin menggambarkan perbincangan mereka sebagai "sangat substantif."
Di sebalik pertemuan dan perbincangan dua pemimpin itu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan lalu mengeluarkan amaran bahawa perundingan senjata sedang "aktif bergerak" antara kedua-dua negara tersebut.
Bagaimanapun, tiada perjanjian yang dikongsi kepada umum.
Media Korea Utara, KCNA pula melaporkan, Jong-Un "sangat kagum" dengan industri pembuatan pesawat terbang Rusia selepas beliau mengadakan lawatan ke Komsomolsk-on-Amur Yuri Gagarin Aviation Plant pada hari Jumaat.
Jong-Un melawat pelbagai fasiliti termasuk sebuah pusat pemasangan badan pesawat pejuang dan pengeluaran sayap.
Pada hari Sabtu pula, beliau memeriksa pesawat pejuang, melawat lapangan terbang bersama Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu serta melawat sebuah fregat Flotilla Pasifik, ditemani oleh Panglima Tentera Laut Rusia.
Kerjasama ketenteraan "antara pasukan bersenjata dua negara dan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara mereka" turut dibincangkan antara Kim dan Shoigu, menurut KCNA.
Kunjungan ini telah menimbulkan kebimbangan dari Korea Selatan, Jepun, Ukraine, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah, namun, apa hasil pertemuan antara Kim dan Putin masih belum terungkap sepenuhnya.