Kim Jong-un dapat gelaran baharu, langkah simbolik kukuhkan kuasa

Agensi
Januari 11, 2021 17:37 MYT
Pada kongres parti 2016, beliau dinobatkan sebagai Pengerusi parti yang bersamaan dengan jawatan Setiausaha Agung yang dipegang oleh ayahnya Kim Jong Il dan datuk, Kim Il Sung. - Foto AP
PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un diberikan gelaran baharu sebagai Setiausaha Agung kepada Parti Pekerja, yang sebelum ini dijawat oleh mendiang ayah dan datuknya.
Ia dilihat sebagai satu langkah yang simbolik untuk mengukuhkan kuasanya tatkala berdepan dengan situasi ekonomi yang semakin mencabar.
Kongres parti yang diadakan buat julung kalinya dalam lima tahun, mengumumkan gelaran baharu itu pada Ahad.
Satu kenyataan kongres menyebut, Kim telah merealisasikan misi bersejarah dengan menyelesaikan pelan pembangunan nuklear negara tersebut.
Ia merupakan pelantikan yang simbolik memandangkan Jong-un merupakan pemimpin tertinggi parti itu.
Pada kongres parti 2016, beliau dinobatkan sebagai Pengerusi parti yang bersamaan dengan jawatan Setiausaha Agung yang dipegang oleh ayahnya Kim Jong Il dan datuk, Kim Il Sung.
Sebelum kongres yang berlangsung pada 2016, Jong-un telah mengetuai parti tersebut dengan gelaran Setiausaha Satu.
#Kim Jong-un #Korea Utara #Setiausaha Agung #Parti Pekerja #Kim Jong Il #Kim Il Sung #nuklear
;