Kim Jong Un arah pengeluaran besar-besaran dron 'bunuh diri'
Agensi
November 15, 2024 16:57 MYT
November 15, 2024 16:57 MYT
PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dilaporkan telah memantau ujian sistem senjata dron 'bunuh diri' (suicide drone) dan mengarahkan pengeluaran besar-besaran senjata udara tersebut pada Jumaat.
Jong Un menegaskan, penggunaan dron seumpamanya yang direka untuk menyerang sasaran di darat dan laut turut memerlukan pengemaskinian segera teori ketenteraan.
Dalam pada itu, saluran televisyen KRT mendedahkan gambar-gambar Jong Un sedang memeriksa dron dan menegaskan persaingan penggunaan dron untuk tujuan ketenteraan semakin meningkat di seluruh dunia, dengan pihak berkuasa ketenteraan mengiktiraf keberkesanannya dalam pelbagai skala konflik.
Jong Un sebelum ini pernah menyelia ujian dron 'bunuh diri', lebih awal tahun ini di tengah-tengah kerjasama ketenteraan yang pesat membangun dengan Rusia, menimbulkan persoalan sama ada beliau menerima bantuan teknikal dari Moscow untuk membangunkannya.
Dron ini telah digunakan secara meluas dalam peperangan di Ukraine dan juga di Asia Barat.
Korea Utara sebelum ini dilaporkan telah menghantar dron merentasi sempadan di selatan negara itu dengan dron terbabit berlegar-legar selama berjam-jam di kawasan penting termasuk ibu negara, Seoul, dan di zon larangan terbang di sekitar pejabat presiden Korea Selatan.
Tindakan mendorong Korea Selatan mengambil tindakan melancarkan senjata menembak jatuh dron Korea Utara terbabit.