Kim Jong-un ada masalah kesihatan - Pakar
Astro Awani
April 21, 2020 06:30 MYT
April 21, 2020 06:30 MYT
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dipercayai mengalami masalah kesihatan.
Kata Pakar Sains Politik Korea Utara, Profesor Robert Kelly dari Busan National University, ia kerana masih tiada maklumat atau kenyataan yang keluar dari negara terpencil itu serta China.
“Spekulasi berkenaan tahap kesihatan Jong Un timbul selepas pemimpin itu gagal hadir ke sambutan kelahiran datuknya dan Pengasas Korea Utara, Kim Il Sung pada 15 April lalu.
"Jong Un tidak kelihatan sejak hari itu dan ada petunjuk bahawa dia tiada di ibu negara Pyongyang.
“Tekaan saya adalah, memandangkan kita masih belum dengar sebarang komen daripada Korea Utara dan tekanan turut sedang meningkat.
"Media sudah membincangkan hal ini sejak beberapa minggu lalu atau 10 hari, tekaan saya, memang beliau menghadapi masalah.
“Sama ada sudah meninggal dunia, tidak berupaya atau berada dalam koma, terdapat pelbagai khabar angin.
"Namun, pada ketika ini, memandangkan banyak yang telah dibincangkan namun Korea Utara dan China masih mengunci mulut, saya kira pasti ada masalah dengan kesihatannya, yang tidak mengejutkan, bukan?
"Dia amat obes, dia juga merokok dan pernah mengalami masalah gout sebelum ini.
“Saya berpandangan, jika dia meninggal dunia, saya tidak pasti sama ada mereka akan beritahu perkara itu pada ketika ini.
"Pasti ada percaturan yang berlaku di belakang tabir untuk menentukan siapa menjadi pemimpin.
"Saya bayangkan mungkin dalam beberapa minggu akan datang, kita akan mendengar kenyataan rasmi berhubung isu ini,” katanya.
Menurut Kelly, anak Kim Jong-un masih terlalu muda untuk menerajui negara itu.
Ramai yang menjangka adik perempuannya, Kim Yo-jong akan menjadi pengganti.
Namun Kelly berpandangan bahawa Korea Utara mungkin tidak akan menerima seorang pemimpin wanita berdasarkan norma gender negara itu.