Kilauea terus marah, bawa malapetaka hingga ke rimba dan laut Hawaii

Agensi
Mei 23, 2018 10:07 MYT
Semakin banyak rekahan yang menghamburkan lahar di sekeliling gunung berapi Kilauea. - Reuters
Bagaikan kemarahan yang tidak berkesudahan, kemusnahan akibat lahar yang terus terhambur keluar dari gunung berapi Kilauea semakin meningkat.
Bot-bot yang berada di kawasan perairan berdekatan kini berdepan risiko kerana bongkah-bongkah batu panas turut tercampak keluar secara rawak dan tidak diduga.
Di bahagian darat, aliran ‘raksasa panas lebur’ itu terus membakar hutan, sementara pelepasan gas toksik sudah mencapai paras tertinggi.
Semua itu adalah antara amaran risiko terbaru yang disampaikan pakar geologi pada Selasa. Letusan Kilauea yang masuk hari ke-19 itu sehingga kini tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda.
Letusan berulang dilaporkan terus berlaku di kawah puncak, manakala hamburan lahar setinggi 50 meter turut terjadi di rekahan-rekahan di sisi gunung.
Di sisi timur Kilauea saja, terdapat lebih 20 rekahan yang secara keseluruhannya melepaskan 15,000 tan sulfur dioksida sehari, iaitu yang tertinggi dalam rekod.
Pada Selasa, lahar dilaporkan mengalir mendekati sebuah loji kuasa geoterma, kata agensi pertahanan awam Hawaii.
Para pekerja di loji geoterma itu, yang membekalkan sekitar 25 peratus bekalan elektrik di Big Island, bertungkus-lumus mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya lahar melepasi bahagian sensitif fasiliti itu hingga menghasilkan pencemaran toksik seterusnya.
Kira-kira 4.8 kilometer ke timur loji kuasa itu yang mengadap pesisiran pantai, asap hitam berasid sudah terbentuk seumpama awan. Selain itu, wap panas dan partikel seperti kaca nipis memenuhi ruang udara, sementara dua aliran lahar sudah memasuki laut.
Sekurang-kurangnya 47 kediaman dan struktur binaan lain sudah musnah di kejiranan Leilani Estates dan Lanipuna Gardens. Seorang lelaki dilaporkan cedera parah pada Sabtu kerana terkena percikan lahar.
Kira-kira 2,000 orang sudah dipindahkan, dan ramai lagi meninggalkan kediaman masing-masing secara sukarela.
BACA: Penduduk Big Island berdepan ancaman, Gunung Berapi Kilauea masih mendidih
BACA: 'Raksasa api' pemusnah 'syurga' terus mengganas
BACA: Kaki hancur terkena percikan lava gunung berapi Kilauea
#gas toksik #gunung berapi #Hawaii #Kemusnahan #kilauea #lahar #malapetaka
;