Kicauan sokongan buat Jokowi dan Prabowo
Saharudin Musthafa
April 17, 2019 17:22 MYT
April 17, 2019 17:22 MYT
Hari ini merupakan hari yang dinanti-nanti oleh rakyat Indonesia.
Selepas berbulan dihadapkan dengan berita-berita politik, perjalanan panjang proses demokrasi berakhir jam 1 petang waktu tempatan, atau 2 petang waktu Kuala Lumpur.
Penglibatan secara total warga yang layak mengundi dan rakyatnya secara umum dalam pesta demokrasi, Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 jelas terlihat.
Bukan hanya berduyun-duyun keluar mengundi, bahkan di dunia siber, sokongan pada Pemilu yang turut menyaksikan Pemilihan Presiden (Pilpres) turut diterjemahkan.
Keghairahan rakyat Indonesia terhadap Pemilu kali ini begitu ketara sekali.
Di laman sosial Twitter misalnya, netizen ‘berkicauan’ menyatakan sokongan mereka kepada dua tokoh besar yang bersaing merebut kerusi Presiden, Joko Widodo (Jokowi) dan Prabowo Subianto.
Dua hashtag yang sangat popular ketika ini ialah #TheVictoryofPrabowo dan #JokoWinElection di media sosial.
Kedua-dua hashtag berkenaan menjadi topik tumpuan atau ‘trending' di Twitter hari ini.
Pemilu 2019 yang berlangsung hari ini akan menentukan siapakah yang bakal dipilih sebagai Presiden Indonesia yang ke-8.
Penyandang kerusi nombor satu Indonesia, Jokowi, ditentang oleh bekas jeneral, Prabowo.
Pada Pilpres 2014, mereka bertemu dengan Jokowi muncul pemenang selepas berjaya mengumpul 53.15 peratus daripada keseluruhan undi.
Kini, nasib kedua-dua calon ini bakal ditentukan sekali lagi oleh 192 juta pengundi berdaftar di Indonesia.
Ketika ini, tumpuan seluruh negara ialah para proses kiraan pantas (quick count) yang diselenggarakan oleh 40 lembaga yang berdaftar dengan Komisi Pemilihan Umum (KPU).
Proses kiraan pantas hanya dibenarkan diadakan dua jam selepas tamat proses pengundian iaitu pada jam 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).
Kiraan pantas akan memberi petunjuk calon manakah yang akan dilantik menerajui tampuk pemerintahan negara yang dihuni oleh 269 juta penduduk itu untuk lima tahun akan datang.
#Indonesia
#Jakarta
#Joko Widodo
#ma'aruf amin
#Pemilu
#Pileg
#Pilihan Raya Indonesia
#Pilpres
#Prabowo Subianto
#Sandiaga Uno