Khutbah raya dalam terjemahan Melayu di Masjid Nabawi
Astro Awani
Julai 27, 2014 14:13 MYT
Julai 27, 2014 14:13 MYT
Khutbah sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Nabawi di Madinah pada tahun ini buat pertama kalinya akan diterjemahkan ke dalam empat bahasa termasuk Bahasa Melayu, lapor Saudi Gazette.
Tiga bahasa lain ialah Bahasa Inggeris, Perancis dan Urdu.
Pengarah Jabatan Terjemahan di Masjid Nabawi, Sheikh Abdullah Al-Hattab berkata terjemahan itu adalah meneruskan projek terjemahan khutbah Jumaat termasuk yang telah dimulakan di masjid itu dan di Masjidil Haram di Mekah.
"Jemaah boleh mendengar terjemahan khutbah melalui radio atau melalui telefon pintar menggunakan saluran FM di masjid," katanya seperti dipetik oleh Saudi Gazette.
Perkhidmatan terjemahan khutbah Jumaat yang diperkenalkan baru-baru ini di dua masjid suci itu mendapat pujian daripada jemaah yang tidak berbahasa Arab.
Mereka dibekalkan dengan alat pendengar khas bagi mengikuti terjemahan itu secara langsung.