Khaled Nabhan 'Atuk Gaza' terbunuh dalam serangan udara Israel
Agensi
Disember 16, 2024 18:17 MYT
Disember 16, 2024 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang warga warganegara Palestin, Khaled Nabhan, yang pernah meruntun hati seluruh warga dunia ketika mengucapkan selamat tinggal kepada cucunya, Reem, terbunuh dalam serangan Israel di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza pada Isnin lalu.
Menurut portal Quds News Network, Khaled terbunuh ketika serangan artileri berlaku berhampiran sebuah tanah perkuburan di kem pelarian tersebut, di mana terdapat dua lagi orang yang turut terbunuh.
Terdahulu, pada tahun 2023, Khaled tular apabila sebuah video yang muncul memperlihatkan beliau mencium jasad cucunya yang berusia tiga tahun, Reem, sambil berkata, “Kau jiwa dalam jiwaku!”
Reem dan abangnya, Tariq, terbunuh apabila serangan udara Israel mengenai rumah mereka di Selatan Gaza.
“Saya berada di bawah runtuhan tanah dan mengalami kecederaan, begitu juga anak lelaki dan anak perempuan saya, malangnya dua cucu saya terbunuh dalam serangan itu,” katanya.
Beliau berkata Reem adalah sebahagian daripada hidupnya dan dia pernah bermimpi Reem membesar dengan sihat dan berjaya mencapai cita-cita untuk masuk ke universiti.